USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BENGKEL “CODEMASTERMADANI© CETUS MINAT PENGATURCARAAN DALAM KALANGAN MURID SEKOLAH RENDAH DAERAH KERIAN, PERAK

USM PULAU PINANG, 13 Mei 2025 – Hampir 200 murid sekolah rendah bersama 40 orang guru pengiring dari 40 buah sekolah di daerah Kerian, Perak telah menyertai program “CodeMasterMadani©: Bengkel Asas Pengkodan Madani untuk Pengaturcara Cilik Secara Bersemuka Peringkat Kebangsaan” yang berlangsung di Dewan SK Wawasan Perak pada 29 April 2025.

IMG 20250430 WA0042

Program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian dengan kerjasama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah nasional yang bertujuan memperkenalkan asas pengaturcaraan dan robotik kepada murid berumur 10 hingga 12 tahun.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh wakil rasmi PPD Kerian, Zul Fauzi Mohd Kamal Padli, yang menyifatkan program ini sebagai usaha yang sangat bertepatan dalam memperkasa pendidikan teknologi peringkat rendah.

IMG 20250429 WA0015

“Usaha seperti ini wajar diteruskan agar anak-anak kita lebih bersedia menghadapi dunia digital yang serba pantas dan mencabar,” katanya dalam ucapan perasmian.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Mohd Noorhisham Nordin dan Mohd Hafizi Mohd Arshad, yang mewakili kepimpinan pendidikan daerah Kerian serta menunjukkan sokongan terhadap inisiatif pembangunan bakat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sebanyak 40 set Arduino Promega 2560 (papan pengembangan berdasarkan mikrokontroler) telah diserahkan kepada sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, sebagai bahan sokongan bagi membolehkan aktiviti praktikal dijalankan di sekolah.

thumbnail IMG 20250506 WA0096

Penyerahan kit tersebut telah disampaikan oleh wakil IPPT USM, Dr. Ahmad Naqib Shuid, selaku Ketua Program CodeMasterMadani© dari Jabatan Kesihatan Komuniti, IPPT.

“CodeMasterMadani bukan sekadar program latihan asas pengkodan. Ia adalah titik mula kepada pembentukan bakat digital yang lebih tersusun dan bersifat jangka panjang,” jelas Naqib.

thumbnail IMG 20250506 WA0098

Program yang berlangsung selama satu hari itu akan diteruskan dengan sesi bengkel secara dalam talian bermula April hingga September 2025.

Bengkel dalam talian tersebut akan diadakan sekurang-kurangnya sekali sebulan melalui platform seperti Zoom dan Webex, dan akan diakhiri dengan Pertandingan Rekacipta Madani peringkat kebangsaan pada penghujung tahun ini.

thumbnail IMG 20250506 WA0097

Pihak penganjur berharap agar program tersebut dapat menyemarakkan lagi minat pelajar luar bandar terhadap bidang teknologi serta melahirkan generasi celik digital yang bersedia menyahut cabaran masa hadapan.

Sumber: Dr. Ahmad Naqib Shuid, Ketua Program CodeMasterMadani© Jabatan Kesihatan Komuniti, IPPT, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe 

  • Created on .
  • Hits: 110

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024