GENIUS SAINS TARI BAWA WARNA-WARNI BUDAYA DAN TRADISI MALAYSIA DI PENTAS GLOBAL MENERUSI PROGRAM WAVES 2025
MUMBAI, INDIA, 5 Mei 2025 – Warna-warni budaya Malaysia bergema megah di atas pentas antarabangsa menerusi penyertaan Genius Sains Tari (GST), sebuah kumpulan seni persembahan yang dianggotai oleh para pelajar perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Pesisir USM-KLE di Belgaum, India yang telah dijemput untuk mewakili Malaysia dan bertindak sebagai duta kecil budaya negara di Sidang Kemuncak Audio Visual dan Hiburan Dunia (World Audio Visual and Entertainment Summit, WAVES) 2025, pada 2 dan 3 Mei 2025 yang lalu.
Bertempat di dua lokasi utama iaitu Pheonix Palladium pada 2 Mei dan JIO World Centre pada 3 Mei, WAVES merupakan sebuah acara di bawah anjuran Kementerian Penerangan dan Penyiaran India yang bertujuan untuk menonjolkan kekuatan India dalam industri media dan hiburan global.
Penyertaan GST mendapat sokongan dan tajaan penuh Konsul Jeneral Malaysia di Mumbai, Ahmad Zuwairi Yusoff bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia.
Penonton yang hadir dipukau dengan persembahan tarian tradisional moden Melayu yang membawa elemen dan pergerakan klasik seperti zapin, inang dan joget, disulam kemas dengan gerakan moden kontemporari yang menjadikan persembahan ini satu refleksi indah tentang kepelbagaian dan keunikan budaya Malaysia menerusi beberapa lagu yang menjadi irama persembahan seperti Tari Tualang Tiga, Ya Maulai, Bintang Malam dan Hati Kama.
Dalam pada itu, kontijen E-Sports Malaysia yang diketuai oleh Presiden Persekutuan E-Sports Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al-Amin; dan Setiausaha Agung MESF, Syed Fakrurrozi Syed Agil, turut hadir dalam memberikan sokongan selain mereka juga terlibat dalam WAVES E-Sports Championships 2025.
Inisiatif ini secara tidak langsung dilihat dapat mengembangkan lagi jalinan kerjasama dua hala sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan, SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat, yang diharap dapat membawa manfaat pada masa hadapan antara USM dengan wakil Kementerian Malaysia di Mumbai.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada USM, Konsul Jeneral Mumbai, MOTAC, dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjamin perwakilan USM-KLE dalam WAVES India 2025; dan semoga minat para pelajar dalam seni dan budaya Malaysia dapat diserlahkan dan dijunjung di mata dunia bagi memperkenalkan keunikan bangsa dan tradisi negara.
Sebagai persatuan kebudayaan luar negara USM, pasukan Genius Sains Tari (GST) amat berharap agar mereka dapat berkembang dan menyumbang lagi kepada promosi Malaysia pada masa akan datang, serta berupaya diiktiraf sebagai salah satu persatuan rasmi dan berdaftar USM-KLE berdasarkan pelbagai pencapaian sebelum ini.
Pertukaran budaya antara Malaysia dan India itu diharap dapat memupuk kerjasama dan persahabatan dua hala yang lebih erat, khususnya dalam bidang kebudayaan dan kesenian.
Teks & Foto: Setiausaha Agung Persatuan Perubatan USM-KLE/Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
- Created on .
- Hits: 69