DPNC 2025: PENTAS DEBAT BERPRESTIJ CUNGKIL KEUNGGULAN GENERASI APEX
USM PULAU PINANG, 11 Mei 2025 – Debat Piala Naib Canselor (DPNC) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang gemilang pada malam kemuncak yang berlangsung di Dewan Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, Kampus Induk Universiti Sains Malaysia.
Acara berprestij ini telah berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Mei 2025, dengan edisi kali ini yang dianjurkan oleh Desasiswa Restu selaku tuan rumah.
Mengangkat tema “Generasi APEX: Inspirasi Kelestarian Global,” DPNC berjaya menghimpunkan 10 pasukan pendebat terdiri daripada 8 Desasiswa, 1 Persatuan dan 1 Swing Team. Program ini bukan sekadar medan berhujah, malah mencorak pemikiran mahasiswa agar lebih peka, rasional dan berdaya saing dalam isu-isu sejagat.
Pertandingan akhir yang dinanti-nantikan ini menyaksikan Desasiswa Restu dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan, manakala gelaran Pendebat Terbaik Keseluruhan pula disandang oleh Muhammad Irfan Shah, pendebat Desasiswa Restu.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaharum Shamsudin, yang turut melahirkan rasa bangga terhadap penganjuran DPNC yang semakin berkualiti dari tahun ke tahun.
Beliau turut menyatakan harapan agar pertandingan ini terus dikekalkan sebagai acara tahunan yang mampu menarik lebih banyak penyertaan daripada kelab dan persatuan serta menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat ahli pendebat muda USM.
“Saya juga menyeru setiap peserta agar mengambil peluang ini untuk menimba pengalaman berharga serta memperkukuh kemahiran komunikasi dan pemikiran strategik dalam menyampaikan hujah” kata Shaharum.
Pada majlis yang sama, Pengarah Projek DPNC, Nurisha Farina Iskandar berkata, DPNC merupakan inisiatif bermakna yang mengasah keupayaan mahasiswa dalam komunikasi berimpak serta menyokong aspirasi pembangunan lestari Universiti Sains Malaysia.
Dengan kehadiran lebih daripada 200 orang penonton memberikan sokongan, dan penjurian mantap daripada 7 orang juri profesional, DPNC kali ini telah membuktikan bahawa debat bukan sekadar pertandingan, tetapi wadah membentuk karakter dan kepimpinan mahasiswa masa depan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian istimewa daripada Pegawai Kebudayaan Kanan, Dewan Budaya USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim, yang telah memukau hadirin dengan kelunakan suara beliau dan menambahkan kemeriahan acara penutup pada malam tersebut.
Turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa Indah Kembara, Ts. Dr. Shahrizal Nazri; Penggawa Desasiswa Restu; Dr. Lim Chee Ann, Wakil Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Zainal Abidin Zain; Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Linguistik Malaysia, Mohamad Zaki Abdul Halim; Pengerusi Majlis Yang di-Pertua Majlis Penghuni Desasiswa USM, Jaz Zairil Abdul Jamin @ Abdul Jamil; barisan Majlis Penggawa, barisan kepimpinan Majlis Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa (MYDP MPD), serta barisan pengurusan Desasiswa.
Teks: Farah Natasha Saad (SUA DPNC)/Suntingan: Muhammad Iman Daniel Muhammad Asrul, Pelajar Latihan Industri Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC)/Foto: Biro Media MPDR, USM
- Created on .
- Hits: 256