USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAMADHAN PUPUK KEMULIAAN DIRI

1604904 10206892434893780 99876785769407780 n

PULAU PINANG, 19 Jun 2015 - Ramadhan berupaya memupuk kemuliaan diri insan jika dihayati dan melakukan ibadah puasa dengan ikhlas hati.

Pengarah Pusat Transformasi Insan Universiti Sains Malaysia (USM) Ustaz Dato' Haji Ellias Zakaria berkata, kerana itu umat Islam seharusnya mengambil kesempatan dari kedatangan Ramadhan untuk memupuk kemuliaan diri kerana ia ibarat pelabuhan dengan setiap kebaikan berlabuh di sini.

"Ramadhan yang membawa keberkatan menjanjikan bahawa doa orang yang berpuasa dengan ikhlas akan diberi layanan istimewa Allah apatah lagi bagi mereka yang memasuki Ramadhan dengan jiwa hamba yang akan diberikan ganjaran syurga," katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Mesjid Al-Malik Khalid USM hari ini.

Menurut Ellias, syurga merindui empat golongan untuk menghuninya iaitu orang yang sering membawa diri dalam membaca dan menghayati  Al-Quran dan mereka yang menjaga lidah dalam percakapannya.

11430289 10206892444454019 7139918113519174661 n

Jelas Ellias, ini bermakna seseorang itu bukan sahaja berpuasa pada zahirnya malah juga batin dan panca inderanya turut berpuasa yang bermakna  kecemerlangan diukur dengan mereka yang mempunyai lidah emas dengan sentiasa bercakap benar, menghasilkan penulisan yang benar serta sentiasa melayari lautan kebenaran.

"Kumpulan ketiga yang dirindui syurga ialah mereka yang memberi makan orang yang kelaparan dengan merasai kehidupan orang miskin seperti mana teras USM yang menekankan kepada nilai kemanusiaan yang perlu diterjemah dalam bentuk yang sangat sempurna," katanya.

Manakala kumpulan keempat yang dirindui syurga ialah orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dan sentiasa melakukan muhasabah diri.

"Kerana itu dalam membentuk kemuliaan diri melalui ketibaan Ramadhan ini dapat dilakukan dengan mengambil peluang untuk menjadi ahli syurga yang kini terbuka luas serta mampu membuka momentum baharu dalam memacu kecemerlangan ilmu," kata Ellias lagi.

Beliau menyeru umat Islam untuk sentiasa membantu orang lain dan menghayati sepenuhnya semangat Ramadhan untuk lebih cemerlang dan menjadi insan yang beriman, beramal dan bertaqwa. - Teks: Mohamad bin Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 924

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024