USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, AAFIYAT HOLDINGS METERAI MoU, JALIN KERJASAMA STRATEGIK DALAM PEMBANGUNAN PRODUK HERBA

WhatsApp Image 2025 05 13 at 1.00.52 AM

USM, PULAU PINANG, 9 Mei 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jalinan strategik dengan pihak industri melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) oleh Pusat Pengajian Sains Farmasi bersama Aafiyat Holdings Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab; dan Ketua Pegawai Modal Insan Aafiyat Holdings Sdn. Bhd., Mohd Zuqi@Zaki Mohd Rejab; serta disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Madya Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan; dan Mohd Ayob Mohamud Muhsin dari Aafiyat Holdings Sdn. Bhd.

Turut serta ialah ahli akademik pusat pengajian dan delegasi Aafiyat Holdings Sdn. Bhd.

Menurut Habibah dalam ucapannya, kerjasama ini menjadi satu titik tolak penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri, khususnya dalam bidang pembangunan produk berasaskan herba.

“USM berbesar hati menerima kehadiran delegasi Aafiyat Holdings ke kampus kami dan komited untuk menyokong kerjasama yang mampu merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dan aplikasi industri,” ujar beliau.

Kerjasama tersebut memberi fokus kepada tiga objektif utama.

Pertama, ia bertujuan untuk memperkukuh kandungan penyelidikan serta memperluas jaringan kerjasama dengan pihak industri, selaras dengan matlamat USM sebagai universiti penyelidikan bertaraf global.

Kedua, kerjasama ini membuka ruang kepada pembangunan dan sokongan terhadap pelbagai program penyelidikan, pendidikan dan latihan yang bermanfaat untuk kedua-dua pihak, termasuk penyelidik, pelajar pascasiswazah dan tenaga profesional industri.

Ketiga, inisiatif ini menggalakkan pemindahan ilmu yang lebih aktif antara warga akademik dan pihak industri, sekali gus merapatkan jurang antara teori dan amalan serta menyumbang kepada pembangunan produk inovatif dan lestari yang mampu memenuhi keperluan pasaran semasa.

Kerjasama tersebut dijangka membuka ruang lebih luas kepada penyelidik dan pelajar pascasiswazah dalam menjayakan projek berimpak tinggi dan menjana inovasi produk tempatan yang lebih kompetitif di peringkat global.

Aafiyat Holdings, sebuah organisasi yang membangunkan produk nutraseutikal untuk pasaran tempatan dan beberapa negara Asia Tenggara, dilihat sebagai rakan strategik yang tepat dalam menjayakan misi penyelidikan USM ke arah menyokong pembangunan produk nutraseutikal berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Teks & Foto: ChM Dr. Fauziahanim Zakaria, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Farmasi USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 129

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024