LAWATAN RASMI TNC P&I USM KE THE UNIVERSITY OF OSAKA PERKASA KERJASAMA PENYELIDIKAN DAN MOBILITI AKADEMIK
USM PULAU PINANG, 2 Mei 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memantapkan kerjasama strategik bersama The University of Osaka menerusi lawatan rasmi Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab ke universiti terkemuka Jepun tersebut pada 11 April 2025 yang lalu.
Lawatan tersebut bertujuan memperkukuhkan jalinan penyelidikan, pertukaran akademik, serta meneroka peluang baharu yang memberi impak luas kepada masyarakat serantau dan global.
Agenda utama lawatan itu adalah perjumpaan bersama Naib Presiden Eksekutif untuk Libatsama Global, Profesor Dr. HAYASHI Mikako, yang mana kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan strategik yang memberi tumpuan kepada:
- Memperkasakan The University of Osaka ASEAN Campus sebagai platform mobiliti dan kolaborasi;
- Pertukaran staf akademik bagi merangsang pertukaran ilmu dan kepakaran;
- Kolaborasi universiti-industri untuk memacu penyelidikan berteraskan keperluan industri dan inovasi bersama;
- Mengukuhkan impak sosial kolaborasi melalui projek penyelidikan yang memberi manfaat terus kepada masyarakat.
Delegasi USM turut disertai oleh:
- Profesor Sr. Dr. Mastura Jaafar @ Mustapha, Timbalan Pengarah II - Kecemerlangan Penyelidikan, Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO);
- Profesor Madya Dr. Masrina Mohd Nadzir, Koordinator Program Kolaborasi Penyelidikan USM-The University of Osaka;
- Eugene Ong Boon Beng, Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM).
Manakala pihak The University of Osaka turut diwakili oleh:
- Profesor Dr. MORIKAWA Yoshitada, Graduate School of Engineering;
- Profesor Dr. UYAMA Hiroshi, Graduate School of Engineering;
- Profesor Dr. ITOH Tadashi, R3 Institute of Newly-Emerging Science Design (INSD);
- Profesor Dr. FUJITA Kioshi, Pengarah Serantau ASEAN Centre for Academic Initiatives;
- Profesor Dr. SUMIMURA Yoshinori, Pengarah, Division of Overseas Campuses, Institute of International Initiative.
Sebelum sesi perjumpaan tersebut, Habibah dan Masrina turut memberi pembentangan dalam Mini-Workshop on USM-UOsaka Research Collaboration and Young Researchers Exchange Programmes, yang merupakan sebahagian daripada The 5th USM and UOsaka Joint Colloquium on Nanoscience and Nanotechnology.
Dalam sesi tersebut, mereka berkongsi perkembangan kolaborasi sedia ada antara USM dan The University of Osaka serta membincangkan hala tuju masa depan kerjasama ini.
Lawatan berkenaan menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha USM memperluas jaringan globalnya, dengan kedua-dua universiti bersepakat untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam penyelidikan, pendidikan, dan inovasi demi manfaat sejagat.
Teks: Profesor Madya Dr. Masrina Mohd Nadzir, Koordinator Program Kolaborasi Penyelidikan USM-The University of Osaka/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 160