USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SHARE THE WARMTH 2025: INISIATIF MURNI PERSATUAN SISWA PERUBATAN USM-KLE SANTUNI GOLONGAN TERPINGGIR

USM-KLE BELGAUM, KARNATAKA, INDIA, 4 Mei 2025 – Program amal “Share the Warmth” anjuran EXCO Kesihatan dan Kesejahteraan, Persatuan Perubatan USM-KLE telah berjaya dilaksanakan di sebuah sekolah kecil di Kampung Ashte, Belgaum, India pada 27 April 2025 yang lalu.

Hadir bagi menjayakan program tersebut ialah Timbalan Dekan, International Medical Programme USM-KLE, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah bersama-sama Pengarah Mustac Crew, Mushtaq Ahmed M Pathan; Shri M T Vasudevan dan Pengetua Sekolah Ashte, Shri Mati MK Kadvekah serta barisan pensyarah USM-KLE.

Sejajar dengan pemerkasaan Student for Society (S4S) melalui salah satu daripada enam teras Pembangunan Komuniti iaitu kesihatan dan kesejahteraan, dengan penglibatan seramai 63 sukarelawan pelajar USM-KLE, program tersebut merupakan inisiatif murni bagi menyasarkan komuniti luar bandar yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi kewangan dan kemudahan kesihatan.

Di bawah kelolaan Muhammad Syahmi Zharfan Zulqarnain, selaku Pengarah Program, beberapa kaunter kesihatan telah dibuka oleh pelajar klinikal USM-KLE sendiri, bagi membolehkan penduduk menjalani pemeriksaan asas seperti tekanan darah, tahap glukosa dan pemeriksaan umum. Ubat-ubatan asas turut disediakan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

Program itu turut menyaksikan sumbangan barangan makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, dan pakaian kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Bagi menyemarakkan suasana dan memberi kegembiraan kepada anak-anak kampung, beberapa aktiviti menarik seperti mewarna, permainan kerusi berirama, dan permainan berpasukan telah dianjurkan.

Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan dihiasi dengan senyuman dan gelak tawa penduduk setempat.

Tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan program tersebut banyak bergantung kepada komitmen tinggi dan kerjasama erat para sukarelawan USM-KLE yang telah menunjukkan tahap profesionalisme dan empati yang tinggi dan juga kecekapan dalam pengurusan memberi impak positif terhadap kelancaran keseluruhan program.

Program “Share the Warmth” bukan sekadar memberi bantuan fizikal, malah menyemai nilai kemanusiaan, keprihatinan dan perpaduan sejagat dalam kalangan pelajar dan komuniti.

Besar harapan agar inisiatif sebegini akan terus disokong dan diteruskan pada masa akan datang demi manfaat masyarakat yang memerlukan.

Teks & Foto: EXCO Kesihatan dan Kesejahteraan, Persatuan Perubatan USM-KLE/Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

  • Created on .
  • Hits: 100

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024