USM TUMPUAN RAMAI, SELAKU LOKASI KARNIVAL JOM MASUK U 2025 ZON UTARA
USM PULAU PINANG, 5 Mei 2025 – Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Utara telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Utama Pelajar (DUP), Universiti Sains Malaysia baru-baru ini.
Majlis perasmian Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Utara yang berlangsung dari 3 Mei hingga 4 Mei 2025 telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman. Turut serta adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat dan Pengerusi Jawatankuasa Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Utara.
Karnival ini telah dihadiri ramai pelawat yang ingin mencari maklumat terkini berkenaan peluang ke menara gading. Ada di antara mereka yang telah berkongsi pengalaman sewaktu hadir di program ini.
Pasangan kembar, Maxx Zhong Min dan Ryan Cheong Min, yang baharu sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hadir bersama keluarga untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang bidang pembelajaran yang diminati, khususnya dalam jurusan Automatif dan Sains Komputer.
“Saya membawa tiga orang anak lepasan STPM dan SPM hadir ke karnival ini bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang pelbagai peluang yang ditawarkan, selain membantu mereka memilih tempat dan bidang pengajian yang bersesuaian dan membuat keputusan sendiri berdasarkan minat mereka,” kata ibu mereka, Tan Thoo Syon.
Manakala Marisah Nuhar, 20, yang telah tamat program Matrikulasi hadir bersama ibubapa beliau. Beliau yang merupakan anak tunggal berhasrat untuk mendaftar pengajian seterusnya di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui sistem UPU secara atas talian yang disediakan.
Seorang lagi yang hadir ke program tersebut, Hafiq Ridzuan, telah ditemani ibu dan adik-beradiknya, Beliau telah berjaya berdaftar untuk menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi.
“Mulanya saya berasa agak ragu-ragu untuk membuat keputusan setelah menerima keputusan peperiksaan STPM, tetapi selepas saya hadir ke karnival ini, saya telah dapat membuat pilihan yang tepat dan berhasrat dapat agar diteladani adik-beradik dan juga membanggakan ibu saya,” kata Hafiq.
Selain itu, seorang pelawat, Tamil Selvi, 50-an, telah membawa seorang anaknya bersama pelajar beliau dari SJKT Ladang Byram, Nibong Tebal ke karnival ini, yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan akses kepada pendidikan yang berkualiti bagi semua lapisan masyarakat, sekaligus dapat merasai suasana program tersebut bersama pelajarnya.
Kedua-dua pelajar, Tashwin Raj dan Azidi Hafizi, dari rombongan SMK Bukit Jambul pula hadir ke karnival ini untuk mengetahui pilihan program pengajian yang ditawarkan oleh pelbagai institusi yang dapat membantu mereka dalam meneruskan pengajian di masa depan.
Begitu juga dengan hadirin ke karnival ini, Rozey, 60-an, yang hadir dengan anak ke-lima beliau bagi membantu anaknya mencapai impiannya melanjutkan pengajian.
“Kami telah berbincang bersama wakil di setiap reruai pameran secara langsung mengenai impian anak saya dan telah mendapat penjelasan yang baik, termasuk maklumat berkaitan syarat kemasukan, yuran pengajian, bantuan kewangan dan prospek kerjaya,” katanya.
Karnival yang telah dihadiri ramai pihak ini pastinya dapat membantu para pelajar untuk membuat pilihan yang tepat dalam merencanakan laluan masa hadapan pendidikan mereka, seterusnya akan dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
- Created on .
- Hits: 129