USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GREEN RIDE: BUKTI KOMITMEN MAHASISWA TERHADAP KELESTARIAN MOBILITI KAMPUS

USM PULAU PINANG, 30 April 2025 – Program "Green Ride: Cycling to Reduce CO2 Emissions" merupakan inisiatif bersama Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK), Universiti Sains Malaysia (USM); Gabungan Anak-anak Pulau Pinang (GAPP) USM; dan pelajar Kursus Kelestarian: Isu, Cabaran dan Prospek (WSU101), selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim.

IMG 7025

Kayuhan basikal sejauh lima kilometer yang bermula dari Padang Kawad USM dan berakhir di parkir PRK, bukan sekadar aktiviti fizikal – ia merupakan simbol komitmen mahasiswa USM terhadap amalan mobiliti rendah karbon dan kehidupan lestari di kampus.

IMG 7818

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (TNC JIM), Profesor Dr. Azlan Amran yang mewakili Naib Canselor USM, di mana beliau menegaskan komitmen BJIM dalam menyokong inisiatif mahasiswa untuk memperkasakan budaya kelestarian di kampus.

“Program dan usaha seumpama ini harus diketengahkan dengan giat oleh seluruh komuniti kampus dan wajar diterapkan sebagai gaya hidup setiap mahasiswa," ujar beliau.

DSC 1556

Lebih menarik, Azlan turut menyertai aktiviti kayuhan basikal bersama Pengarah PRK, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim, sebagai tanda solidariti dan galakan kepada mahasiswa.

Penyertaan mereka bukan sahaja mencetus inspirasi, malah meniup semangat dalam membudayakan amalan sihat dan mesra alam.

IMG 7031

Penghargaan turut dirakamkan kepada semua pihak yang menjayakan program, terutamanya PRK, jawatankuasa GAPP, pelajar WSU101 serta anggota Jabatan Keselamatan USM atas kerjasama dalam kawalan keselamatan dan lalu lintas sepanjang acara berlangsung.

Program ini bukan sahaja mencetus kesedaran tentang kepentingan mobiliti rendah karbon, malah turut menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa untuk memulakan perubahan dari dalam kampus.

Green Ride menjadi titik tolak kepada usaha membudayakan gaya hidup lestari yang bukan sekadar bersifat simbolik, tetapi mampu memberi impak jangka panjang kepada ekosistem kampus.

Teks & Foto: Jawatankuasa Green Ride, Gabungan Anak-anak Pulau Pinang USM/Suntingan : Edzuwyn Fathin Mahyuddin, Pusat Rancangan Kokurikulum & Shafinaz Md Ismail 

  • Created on .
  • Hits: 298

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024