USM ANJUR MAKMAL PEMBELAJARAN DASAR, RAPATKAN JURANG ANTARA PENYELIDIK DAN PENGGUBAL DASAR
USM PULAU PINANG, 26 April 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kerjasama antara Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) dan Bahagian Penyelidikan dan Inovasi telah menganjurkan program Policy Learning-Lab 2025: ‘Bridging the Gap: Formulating the Policy Papers for Policymakers’ yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canselori 2, USM, baru-baru ini.
Program tersebut yang diadakan pada 24 April 2025, dirangka dengan matlamat utama untuk memperkukuh keupayaan penyelidik dalam menterjemahkan hasil penyelidikan berasaskan bukti kepada kertas dasar yang relevan, praktikal dan berimpak tinggi kepada pemegang taruh.
Inisiatif ini dihadiri hampir 60 orang penyelidik dari pelbagai latarbelakang disiplin – termasuk sains semulajadi, perubatan dan kesihatan, sains sosial, kemanusiaan serta pendidikan – yang diberi pendedahan kepada pendekatan konseptual, amalan terbaik, dan latihan praktikal dalam pembangunan kertas dasar.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia, Dr. Razul Ikmal Ramli, telah dijemput untuk berkongsi pengalaman luas beliau dalam penggubalan dasar awam merentasi bidang seperti pengurusan pendidikan tinggi, undang-undang air dan kelestarian, inovasi sektor awam dan pembinaan negara bangsa.
Beliau telah memfokuskan kepada topik “Bridging the Gaps in Evidence-Based Policy Papers” dan “From Data to Decision: Translating Evidence-Based Research into Effective Policy Papers” yang memperincikan strategi dan amalan terbaik dalam menjadikan hasil penyelidikan sebagai input dasar yang efektif.
Selain itu, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Morshidi Sirat dari IPPTN yang merupakan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan berpengalaman luas dalam penyelidikan dasar, telah berkongsi topic berkaitan “Evidence-Based Policy Reforms: Envisioning the Research–Policy Partnerships”.
Beliau menekankan keperluan membina hubungan strategik antara penyelidik dan pembuat dasar berasaskan objektif bersama, kepercayaan, dan kerangka kerjasama yang fleksibel tetapi berstruktur.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab, dalam ucapan alu-aluannya, menyatakan keyakinan bahawa program ini menjadi sebahagian inisiatif USM dalam memperkasa pengetahuan dan kemahiran penyelidik untuk menyumbang secara efektif dan signifikan kepada pembangunan dasar negara serta global.
Beliau turut menekankan harapan agar makmal ini menjadi pemangkin kepada wacana dan kerjasama berterusan antara penyelidik dan pembuat dasar demi kemajuan masyarakat dan negara secara menyeluruh.
Turut hadir ialah Pengarah IPPTN, Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee.
Teks: Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN)
- Created on .
- Hits: 46