PERKASA SKIL PENULISAN: PELAJAR KEWARTAWANAN USM KE THAILAND TIMBA PENGALAMAN
USM PULAU PINANG, 22 April 2025 – Selari dengan aspirasi dan kepentingan pembelajaran di luar bilik kuliah dan pembelajaran berdasarkan pengalaman sebenar, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kursus Kewartawanan Berasaskan Pengetahuan (Knowledge-Based Journalism), telah menganjurkan lawatan akademik untuk 48 orang pelajar tahun dua bidang kewartawanan ke Hatyai, Thailand pada 18 hingga 19 April 2025.
Lawatan akademik dan antara budaya tersebut dijalankan bagi membolehkan pelajar kewartawanan menjalankan kajian lapangan dan mendapatkan pendedahan tentang keadaan sebenar perkembangan industri pelancongan makanan di Thailand untuk dijadikan sumber informasi dan rujukan bagi projek penulisan laporan khas mereka.
Melalui program tersebut, pelajar kewartawanan juga berpeluang melawat program komunikasi dari Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Thaksin University, Songkhla, Thailand dan bersuai-kenal bersama pelajar dan pensyarah di sana di samping bertukar pengalaman serta pandangan mereka.
Menurut Profesor Madya Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh yang merupakan ketua penyelaras kursus ini, program sebegini adalah kali kedua dijalankan sejak kursus baharu ini ditawarkan yang mana pada tahun lalu, pelajar kewartawanan yang mengambil kursus ini telah dibawa ke pusat konservasi orang utan di Bukit Merah untuk menjalani kajian lapangan bagi penulisan mereka.
Tambah beliau lagi, para pelajar amat teruja dan telah memberikan maklum balas yang amat positif mengenai peluang untuk mereka merasai pengalaman “kembara dan tulis” yang membezakan kursus ini dengan kursus-kursus lainnya.
Sokongan yang baik dari Pusat Pengajian Komunikasi khususnya melalui Dekan, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar dalam memberikan bantuan kewangan tambahan kepada pelajar, membuatkan program ini dapat direalisasikan.
Selain itu, Umar Norli Hisham yang merupakan pengarah program kali ini menyifatkan peluang yang diberikan oleh pensyarah kursus kepada pelajar kewartawanan dalam menyertai lawatan sebegini dapat meningkatkan pemahaman dan pengalaman mengenai budaya masyarakat serantau khususnya yang berkait dengan industri pelancongan makanan di Thailand.
“Saya berharap agar kursus ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya lebih ramai pelajar kewartawanan mendapat manfaat dan pengalaman belajar di luar bilik kuliah dan bekerja secara berkumpulan di lapangan,” tambah Umar.
Selain itu, Asst. Prof. Dr. Tanapat Temrattanakul yang merupakan Timbalan Dekan Perhubungan Antarabangsa dan ketua program bagi Media Dan Kajian Budaya di Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Thaksin University, Songkhla, Thailand menyambut baik lawatan ini yang dilihat dapat dijadikan sebagai peluang untuk menjalin kerjasama akademik antara kedua-dua institusi yang terletak berdekatan antara satu sama lain.
“Melalui lawatan ini, kedua-dua pihak dijangka memperoleh pemahaman budaya yang lebih mendalam menerusi perkongsian informasi yang berkaitan pelancongan makanan dan pengalaman menarik lainnya,” kata Tanapat.
Tambah beliau, pihak fakulti di sana amat yakin bahawa kerjasama ini akan terus berkembang pada masa akan datang dan akan mencapai matlamat yang telah disepakati bersama, khususnya demi pembangunan dan kemajuan akademik pelajar dan pensyarah.
Sumber: Prof. Madya Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh, Pusat Pengajian Komunikasi, USM/Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 51