USM TUAN RUMAH PENGANJURAN PROGRAM JOM MASUK U 2025; KARNIVAL PENDIDIKAN TERBESAR ZON UTARA SASAR PULUHAN RIBU PENGUNJUNG
USM PULAU PINANG, 30 April 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi lokasi tumpuan ribuan pelajar, ibu bapa dan pendidik apabila menjadi tuan rumah Program Jom Masuk U (JMU) 2025 Zon Utara yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Mei ini di Dewan Utama Pelajar (DUP), di sini.
Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), karnival pendidikan terbesar di utara tanah air ini menawarkan platform menyeluruh kepada lepasan SPM, STPM, matrikulasi, diploma dan setaraf untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti serta institusi latihan kemahiran.
Sebanyak 56 reruai pempamer yang akan terlibat sepanjang program ini termasuk universiti awam terkemuka dan institusi swasta yang akan membuka reruai pameran bagi memberikan khidmat nasihat secara langsung berkaitan laluan pengajian, syarat kemasukan, bidang pengajian, bantuan kewangan dan biasiswa.
![]() |
![]() |
Antara tarikan utama termasuk kaunter rundingcara dan konsultasi UPU Online, sesi kaunseling pendidikan percuma, taklimat oleh wakil Universiti Awam/Agensi, serta pelbagai aktiviti interaktif dan karnival keusahawanan yang memberi nilai tambah kepada pengunjung dari pelbagai latar belakang.
Ibu bapa dan pengunjung turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma melalui ‘mobile coach’ USM dengan kerjasama Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB).
Program ini bukan sekadar membantu pelajar membuat keputusan tepat dalam memilih halatuju akademik, malah turut memperkasa pengetahuan mereka mengenai prospek kerjaya dan gaya hidup kampus.
Pelajar berpeluang meneroka pelbagai bidang pengajian termasuk sains, kejuruteraan, sastera, pendidikan, teknologi dan sebagainya serta memahami ekosistem universiti termasuk kemudahan, budaya pembelajaran dan peluang pembangunan diri yang ditawarkan.
Selari dengan komitmen USM dan KPT terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG), program ini berperanan memperluas akses kepada pendidikan tinggi dengan mengutamakan keterangkuman dan kesaksamaan.
Program Jom Masuk U 2025 Zon Utara ini terbuka kepada semua dan masuk adalah percuma. Ia merupakan peluang yang terbaik bagi pelajar untuk mendapatkan maklumat lengkap dan terkini mengenai pendidikan tinggi di Malaysia.
Program Jom Masuk U 2025 Zon Utara ialah zon ke-6 daripada 10 zon dalam siri jelajah jerayawara KPT di seluruh negara yang bermula sejak 22 Februari 2025 dan dijangka berakhir pada 18 Mei depan.
Kenyataan Media oleh Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC), Universiti Sains Malaysia, 30 April 2025
- Created on .
- Hits: 347