PM SUNTIK DANA SETENGAH JUTA KEPADA TABUNG PALESTIN
PULAU PINANG, 11 Dis.2012 – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyuntik semangat kepada warga Universiti Sains Malaysia (USM) apabila berjanji menyumbang dana berjumlah RM500,000 kepada Tabung Pendidikan Palestin yang dilancarkan baru-baru ini.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, kesediaan Perdana Menteri untuk menyumbang dana tersebut mendorong USM untuk terus bekerja keras bagi menjayakan misi membantu rakyat Palestin yang diancam bencana peperangan melalui pendidikan.
Katanya, sehinga kini tabung yang mula dilancar pada penghujung November lepas telah berjaya memperoleh dana berjumlah RM115,00, hasil kutipan derma dari masyarakat prihatin dan potongan gaji kakitangan USM.
``Jumlah tersebut kebanyakan diperoleh melalui program Gaza di Hati USM yang menerima kutipan berkala daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan, potongan gaji dan aktiviti berhibur sambil menderma,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan Perdana Menteri ke tapak pameran USM yang mempamerkan pelbagai aktiviti untuk Gaza sempena lawatan beliau sempena program Jelajah Janji Ditepati (JJD) di sini baru-baru ini.
Tambah Omar, beliau turut berbangga dengan inisiatif kemanusiaan yang dilakukan oleh para pelajar USM, termasuk menggembleng usaha menjalankan pelbagai aktiviti seperti solat hajat, car boot sales, konsert amal dan sebagainya.
``Inisiatif pelajar terbabit adalah satu perkara yang terpuji dan saya berbangga dengan pencapaian yang diperoleh melalui dana yang diperoleh dalam tempoh kurang dari dua minggu,’’ ujar beliau.
Tambahnya, beliau turut terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh seorang pelajar USM, Mohibbuddin B.Shahul Hamid, 22, yang sanggup menjual motosikal bagi membolehkannya menyertai Misi Solidariti Gaza 2012 bersama-sama sukarelawan lain yang pergi melalui Aman Palestin.
Katanya, pengorbanan itu menunjukkan betapa pelajar USM semakin matang dalam menunjukkan keprihatinan mereka untuk menyumbang sesuatu yang memberi manfaat kepada kelangsungan hidup dan kesejahteraan masyarakat tanpa mengira sempadan negara.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 2205