PROFESOR GEOGRAFI DAN SASTERA SAMPAIKAN SYARAHAN UMUM
PULAU PINANG, 6 Disember 2012: Dua profesor dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan iaitu Profesor Wan Ruslan Ismail yang membuat kajian di dalam bidang Geografi Fizikal dan Profesor Sohaimi Abdul Aziz, pensyarah Kesusasteraan (Teori dan Kritikan Sastera) telah menyampaikan syarahan umum pelantikan profesor masing-masing di Dewan Budaya USM hari ini.
Di dalam syarahan yang bertajuk ‘Sedimen Sungai: Warisan dari Gunung,’ Wan Ruslan berkata, sedimen yang berupa partikel atau bahan terlarut yang terhasil akibat proses luluhawa dan dipindahkan oleh agen pengangkutan seperti air mengalir merupakan sumber pencemar di dalam sistem akuatik dan penyebab utama kemerosotan kualiti air.
“Keadaan bertambah buruk lagi apabila kegiatan penebangan pokok yang tidak terkawal dan terancang di kawasan hutan tanah tinggi, misalnya untuk tujuan projek perumahan, pembangunan taman agro pelancongan atau taman rekreasi telah menyebabkan berlakunya hakisan tanah kerana hutan yang merupakan kawasan tadahan air semulajadi telah dimusnahkan.
“Akibatnya lumpur dan selut yang mengalir turun terutamanya semasa hujan lebat telah mencemari sungai dan tasik serta merosakkan kualiti air sekaligus memusnahkan ekosistem kawasan tersebut,” kata Wan Ruslan.
Profesor Wan Ruslan Ismail adalah anak kelahiran Kampong Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis dan telah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia sebagai pensyarah sejak 14 Julai 1984. Beliau pernah berkhidmat dengan Jabatan perkhidmatan Meteorologi Malaysia sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang Oseanografi di University of Southampton.
Bersama beliau menyampaikan syarahan umum pelantikan professor adalah Profesor Sohaimi Abdul Aziz yang mengupas mengenai “Teknoteks dan Transformasi Pengajian Kesusasteraan: Mensinergikan Sastera, Teknologi dan Kritikan”.
“Apabila sastera dan teknologi media bergabung maka terbentuklah satu sastera elektronik yang dikenali sebagai teknoteks. Filem-filem Harry Potter adalah contoh terbaik dalam bidang teknoteks kerana karya tersebut sangat unik,” kata Sohaimi.
Menurut Sohaimi lagi, pengajaran sastera juga perlukan transformasi supaya selari dengan transformasi pengajian tinggi di seluruh dunia yang telah dan sedang berlaku.
“Dengan transformasi ini, pengajian kesusasteraan bukan hanya mampu memindahkan ilmu sastera dan kemahiran intelektual tetapi menyumbang kepada sektor industri kreatif yang semakin kuat sumbangan ekonominya kepada negara dan dunia.
“Tambahan pula, transformasi ini diharap dapat melahirkan graduan yang mempunyai nilai tambah yang besar di samping memelihara keseimbangan di antara ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan (wisdom) yang kurang di dalam bidang sains dan teknologi,” kata Sohaimi.
Sohaimi yang menyambung pengajian peringkat tinggi di Temple University, Philadelphia aktif dengan kegiatan kemasyarakatan dan juga mengembangkan budaya ilmu melalui persatuan-persatuan yang disertainya.
Kedua-dua profesor ini telah diperkenalkan oleh dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Dato’ Abu Talib Ahmad. Turut hadir dalam syarahan umum ini ialah Prof Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa). – Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 2680