USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KRISIS AIR 2.0: MPP USM TERUS KOMITED MENJAGA KEBAJIKAN MAHASISWA HADAPI KRISIS AIR DI PULAU PINANG

USM PULAU PINANG, 25 April 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM) telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam menangani krisis air yang melanda negeri ini dengan melaksanakan beberapa inisiatif penting bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara.

Antara langkah awal yang diambil termasuklah permohonan kelas secara hibrid kepada pengurusan tertinggi, mencari bekalan sumber air minuman untuk diagihkan kepada mahasiswa, serta kerjasama erat bersama pihak pengurusan universiti dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

MPP turut menyalurkan maklumat terkini daripada Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre) USM berkaitan gangguan air melalui media sosial rasmi bagi memastikan pelajar sentiasa peka dan bersedia.

Menurut Yang Dipertua MPP USM, Muhamad Arif Esa, langkah ini diambil bagi mengurangkan tekanan pelajar dalam menjalani kehidupan harian dan juga menyeru agar pelajar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh krisis ini.

Dalam menghadapi krisis air ini juga, pihak MPP telah membuat satu perjumpaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, YB Kumaresan Aramugam bagi memohon sumbangan dalam membekalkan bekalan air minuman kepada para pelajar dan bekalan air bersih untuk tangki yang berada di USM.

Hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Arif; Setiausaha Kerja MPP, Nadhirah; dan Eksekutif Kebajikan dan Kerohanian MPP, Syamsiah.

Warga USM mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak YB Kumaresan  atas sumbangan yang diberikan bagi meringankan beban para pelajar

MPP USM komited untuk terus menjadi suara pelajar dan memastikan kesejahteraan mereka sentiasa diutamakan walaupun berdepan cabaran yang tidak dijangka.

Teks & Foto: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), USM

  • Created on .
  • Hits: 56

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024