USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM AMBIL LANGKAH PROAKTIF HADAPI GANGGUAN BEKALAN AIR MULAI 25 APRIL 2025

PHOTO 2025 04 25 23 21 59

USM PULAU PINANG, 24 April 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah awal dan proaktif dalam menghadapi gangguan bekalan air yang dijangka berlaku mulai dari 25 hingga 28 April 2025 ini.

Unit Pengurusan Bencana (UPB) selaku Penyelaras Krisis Air USM telah mulai menyelaras pelbagai inisiatif bagi memastikan gangguan bekalan air yang melibatkan Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan selama 24 hingga 48 jam dapat ditangani dengan berkesan.

Beberapa mesyuarat susulan yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Profesor Dr. Azlan Amran, bersama jabatan-jabatan terlibat telah diadakan bagi menyelaras tindakan dan persediaan yang perlu.

Antara tindakan dan keputusan yang telah diputuskan antaranya, Jabatan Pendaftar telah mengeluarkan arahan bekerja dari rumah (BDR) pada 25 April sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan penggunaan air di kampus, sekaligus memberi keutamaan kepada keperluan penghuni desasiswa.

Langkah ini juga membantu pihak Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) dalam pemantauan kapasiti air agar sentiasa mencukupi sepanjang tempoh gangguan tersebut.

USM turut bekerjasama dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk membekalkan air melalui lori tangki ke tangki simpanan utama kampus melalui satu keputusan mesyuarat bersama UPB USM.

Selain itu, sokongan pelaksanaan kaedah pembelajaran secara hibrid sepanjang tempoh krisis ini juga dilihat dapat mengurangkan penggunaan air di kawasan dewan kuliah dan pusat pengajian.

Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) pula mengambil langkah awal pada Februari 2025 lalu dengan mengeluarkan notis agar semua aktiviti pelajar dihentikan bermula 24 hingga 30 April, sebagai langkah proaktif pengurusan air kampus yang lebih berkesan.

USM komited dalam memastikan kesejahteraan warganya dan terus cakna terhadap situasi semasa.

Sehubungan itu, semua warga kampus disarankan untuk membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan harian dan minuman.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, warga USM boleh menghubungi Unit Pengurusan Bencana USM.

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow, sebelum ini memaklumkan bahawa sebanyak 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air dari 25 hingga 28 April 2025. Gangguan ini berpunca daripada pelaksanaan 23 projek yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM25 juta.

Teks: Unit Pengurusan Bencana USM

  • Created on .
  • Hits: 65

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024