PENJENAMAAN SEMULA PERPUSTAKAAN KEJURUTERAAN USM KEPADA “PERPUSTAKAAN MUSA MOHAMAD”
PULAU PINANG, 21 April 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) secara rasmi mengumumkan penjenamaan semula Perpustakaan Kejuruteraan sebagai Perpustakaan Musa Mohamad, sebagai penghormatan kepada sumbangan dan legasi Allahyarham Tan Sri Musa Mohamad, bekas Naib Canselor ketiga USM.
Sesi penyerahan surat pemakluman rasmi telah disempurnakan oleh delegasi USM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab, dalam satu kunjungan hormat menemui Puan Sri Fauziah Shahrom di kediaman beliau.
Puan Sri Fauziah, isteri kepada Allahyarham telah menzahirkan penghargaan atas inisiatif USM tersebut, yang disifatkan sebagai satu pengiktirafan bermakna terhadap sumbangan besar Allahyarham dalam pembangunan akademik dan pendidikan tinggi negara.
Penjenamaan ini turut memperkukuh kedudukan perpustakaan berkenaan sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi di Kampus Kejuruteraan USM.
Penghargaan ini menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dapat menyemarakkan lagi semangat keilmuan serta menjadi inspirasi kepada warga universiti dan masyarakat umum.
Teks: Shahriza Fadly Misaridin, Ketua Bahagian Korporat dan Khidmat Pelanggan, Perpustakaan Hamzah Sendut USM/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 85