USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEKALI LAGI DIPILIH SEBAGAI LOKASI KURSUS PERDANA HAJI 1446H/2025M PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

IMG-20250421-WA0274.jpg

USM PULAU PINANG, 19 April 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi diberi kepercayaan sebagai lokasi penganjuran Kursus Perdana Haji peringkat Negeri Pulau Pinang bagi musim haji 1446H/2025M.

Buat tahun ketiga berturut-turut, USM melalui Masjid Al-Malik Khalid menjadi lokasi utama bagi sesi praktikal yang melibatkan penyertaan bakal jemaah haji dari seluruh negeri Pulau Pinang.

Kursus anjuran Lembaga Tabung Haji ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada para jemaah mengenai ibadah haji, termasuk aspek teori dan praktikal, agar mereka lebih bersedia dari segi fizikal, mental dan spiritual menjelang keberangkatan ke Tanah Suci.

IMG-20250421-WA0273.jpg

Pelaksanaan kursus di kampus induk ini turut memperkukuh peranan USM sebagai rakan strategik dalam menyokong program keagamaan dan kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada komuniti.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid bagi merasmikan Kursus Perdana Haji tahun ini.

IMG-20250421-WA0272.jpg

Beliau mengucapkan selamat menjalani ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima, iaitu keistimewaan kepada orang Islam.

“Saya mendoakan agar semua tetamu Allah S.W.T. tahun ini dipermudahkan urusan dalam mengerjakan ibadah haji, dikurniakan kelancaran sepanjang berada di Tanah Suci serta pulang dengan haji yang mabrur,” ucap beliau ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Masjid Al-Malik Khalid USM.

IMG-20250421-WA0279.jpg

Hadir ke majlis, Pengarah Eksekutif Operasi, Tuan Haji Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata sesungguhnya jemputan sebagai Jemaah haji tahun ini merupakan satu peluang yang sangat dinantikan dan beliau berharap bakal haji dapat menggunakan peluang istimewa ini dengan sebaiknya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed atas kelulusan dan kerjasama bagi menggunakan kemudahan prasaranan yang dimiliki di USM bagi menganjurkan Kursus Perdana Haji bagi peringkat Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2023,” kata beliau lagi.

IMG-20250421-WA0276.jpg

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang turut hadir mewakili Universiti ke majlis perasmian tersebut mengalu-alukan kehadiran bakal jemaah haji yang menyertai kursus tersebut.

“Saya bagi pihak USM ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat, Timbalan Ketua Menteri 1 kerana hadir pada petang ini dan juga kepada pihak pengurusan Tabung Haji Pulau Pinang kerana telah memilih USM sebagai rakan strategik bagi melaksanakan program ibadat yang besar ini” kata Naib Canselor dalam ucapan alu-aluannya.

IMG-20250421-WA0283.jpg

IMG-20250421-WA0284.jpg

Dalam penganjuran Kursus Perdana Haji kali ini, Universiti Sains Malaysia (USM) memainkan peranan penting dengan menyediakan fasiliti dan ruang praktikal di sekitar USM.

Kemudahan ini disediakan khusus bagi memberi peluang kepada para bakal jemaah haji dari seluruh Pulau Pinang untuk menjalani latihan yang menyeluruh dan sistematik sebagai persediaan awal sebelum mereka menunaikan ibadah haji yang sebenar di Tanah Suci.

IMG-20250421-WA0286.jpg

Turut hadir ke majlis ini adalah Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Rosidi Hussain; Pengarah Tabung Haji Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Fisol Nayan; Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Zayd Zhari; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Dr. Mohamad Sofee Razak; Ketua Pegawai Projek Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Ghazalli; Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Mohd Yunus Safuan Soleh dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Tuan Ismail Tuan Abdullah.

Teks: Muhammad Iman Daniel Muhammad Asrul, Pelajar Latihan Industri Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), USM/Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
 
  • Created on .
  • Hits: 93

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024