USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MENJADI UNIVERSITI PERTAMA LIBATKAN PELAJAR SULUNG DALAM PROGRAM MCMC AI TEACH SISWA SULUNG

492090448_1170550968202862_5584851134752007387_n.jpg

USM PULAU PINANG, 20 April 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan program MCMC Microsoft AI TEACH Siswa Sulung selama dua hari bermula 19 April 2025 di Dewan Pembangunan Siswa 1 dan Dewan Pembangunan Siswa 2, Kompleks Cahaya Siswa USM.

Program tersebut yang turut mendapat kerjasama strategik dengan Microsoft Malaysia dan Syarikat Biji-Biji Initiative, menyasarkan pelajar Siswa Sulung, iaitu golongan generasi pertama daripada keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

492313335_1170550754869550_5932209833846079895_n.jpg

Dengan penglibatan seramai 80 orang pelajar sulung, USM adalah universiti pertama yang melibatkan pelajar-pelajar sulung dalam program berkenaan.

Program tersebut yang merupakan idea dan inisiatif Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, bertujuan untuk memperkasakan golongan pelajar sulung terpilih dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

492194602_1170550891536203_8870394200723963000_n.jpg

492478415_1170552134869412_6623542770501387461_n.jpg

Selain itu, ia juga diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan terutamanya mereka yang berasal daripada latar belakang sosioekonomi yang mencabar.

Hadir merasmikan program adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab, mewakili Naib Canselor USM.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Sektor Pembangunan Industri MCMC, Muhammad Razali Anuar; Pengarah MCMC Pulau Pinang, Mohd Fitri Hashim; Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA USM, Shukeri A. Rahaman; Pegawai Tadbir Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Georgetown, Nurul Atikah Samelan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Biji-biji Initiative, Rashvin Pal Singh.

492880049_1170551014869524_3287783394315205978_n.jpg

Habibah dalam ucapannya, melihat program ini mampu menyediakan platform pembelajaran interaktif yang akan membekalkan peserta dengan pelbagai manfaat seperti pemantapan kemahiran digital, pendedahan kepada trend dan aplikasi terkini dalam AI, latihan praktikal kerjaya secara langsung dalam penggunaan AI selain meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membina jaringan profesional dengan syarikat dan industri.

Sementara itu, Fitri mewakili pihak MCMC, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak USM atas kesudian untuk bekerjasama dengan MCMC menerusi Program MCMC Microsoft AI TEACH yang memberi manfaat kepada semua peserta yang hadir.

Melalui pelaksanaan inisiatif ini, seramai 127 orang peserta telah berjaya ditempatkan dalam pekerjaan dalam tempoh purata hanya 32 hari selepas tamat latihan.

Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan SDG 4: Pendidikan Berkualiti, program tersebut bukan sahaja memperkasa mahasiswa dengan kemahiran masa depan, malah mencerminkan hubungan strategik antara universiti, industri dan pihak kerajaan dalam memperkukuh pembangunan insan di negara ini.

Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

  • Created on .
  • Hits: 93

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024