PENGHAPUSAN KEGANASAN TERHADAP WANITA MELALUI UNDANG-UNDANG: DARI PERSPEKTIF PROFESOR DATO’ DR. NORAIDA ENDUT
Pulau Pinang 17 April 2025 – Pensyarah dan juga penyelidik dari Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Noraida Endut, baru-baru ini telah menyampaikan syarahan umum bertajuk “PENGHAPUSAN KEGANASAN TERHADAP WANITA MELALUI UNDANG-UNDANG” di Dewan Persidangan Siswa, Kompleks Cahaya Siswa 1 (DPS1), Universiti Sains Malaysia.
Dalam syarahannya, beliau menjelaskan, secara keseluruhaannya isu keberkesanan undang-undang terhadap wanita dalam penyelidikan berkaitan soal keganasan adalah kompleks dan mempunyai risiko yang perlu dilihat secara khusus.
“Ini dapat dihuraikan apabila mengambil kira diri kita sebagai penyelidik yang mengkaji subjek penyelidikan berkenaan hal ehwal semasa yang hangat diperkatakan di negara ini mahupun global,” kata Noraida.
Noraida yang turut terlibat dalam penubuhan Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA) di USM menyatakan bahawa hasil penyelidikan dan kajian yang dijalankannya mendapati keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan semakan membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Situasi ini sudah semestinya menghalang hak asasi manusia seperti hak untuk hidup, hak untuk tidak diseksa atau dilayan secara tidak berperikemanusiaan atau tidak bermaruah termasuk lain-lain hak bagi mendapat perlindungan sepenuhnya dari undang-undang secara telus dan saksama” jelas beliau.
Katanya, di Malaysia data ini menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dan memerlukan undang-undang yang lebih tegas sebagai medium penting bagi menghapuskan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Beliau seterusnya menekankan bahawa proses mencapai kesaksamaan mungkin berbeza bergantung kepada jantina, bergantung kepada bagaimana lelaki dan wanita dilihat oleh Masyarakat.
“Perspektif gender juga ialah satu strategi yang memastikan kepentingan, keperluan dan pengalaman wanita dan lelaki diambil kira dalam mereka untuk perlaksanaan pemantauan dan penilaian dasark program dan undang-undang dalam pelbagai bidang dan aspek,” kata Noraida lagi.
Prof. Dato’ Dr. Noraida Endut yang juga merupakan Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, merupakan seorang penyelidik aktif di USM dengan pelbagai penyelidikan terutamanya berkaitan isu-isu wanita dan gender.
Beliau banyak mendapat mendapat tajaan oleh pelbagai pertubuhan dalam dan luar negara seperti Nowegian Research Council, British Academy Global Challenges Research Fund, Newton Ungku Umar Fund (NUOF), Global Centre for Pluralism, Canada, Pertubuhan Penyelidikan Amerika Syarikat dan banyak lagi pertubuhan antarabangsa.
Syarahan Umum pelantikan beliau sebagai Profesor ini telah perhatian warga universiti dan golongan profesional dengan kehadiran seramai 300 orang peserta untuk mendengar kupasan beliau mengenai topik tersebut.
Noraida mengakhiri sesi syarahan umum beliau dengan harapan lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk melihat keberkesanan undang-undang berkaitan isu-isu dan perundangan berkaitan keganasan terhadap wanita.
Turut hadir di dalam program ini adalah Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Kerajaan Negeri Pulau Pinang YB Puan Lim Siew Khim; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) Dato’ Ong Bee Leng , Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM, Prof. Dr. Intan Hashimah Muhamad Hashim.
Teks: Nurhidayah Nayan, Pelajar Latihan Industri, Pusat Media dan Perhubungan Awam, USM / Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 107