PUSAT PENDIDIKAN PESISIR USM DI TURKIYE TERIMA LAWATAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA
ISTANBUL, TURKIYE, 13 April 2025 – Pusat Pendidikan Pesisir Universiti Sains Malaysia (USM) di Istanbul Gelisim University baru-baru ini menerima lawatan dari YB Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Turut serta bersama Zambry dalam lawatan sulungnya itu pada 11 April 2025 adalah Konsul-General Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar; Timbalan Ketua Setiausaha (Polisi), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah, Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Setiausaha Bahagian, Datin Noorazah Omar; serta wakil-wakil dari Bahagian Perhubungan Antarabangsa, Ketua Education Malaysia Global Services (EMGS); Agensi Kelayakan Malaysia (MQA); Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT); dan universiti-universiti seperti UTM, UniMAS, dan UUM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berada di sana untuk menerima ketibaan delegasi KPT bersama dengan Pengarah, Bahagian Akademik dan Antarabnagsa USM, Profesor Dr. Lee Keat Teong.
Rakan-rakan sejawat USM di Turkiye juga turut hadir, terdiri daripada Presiden, European Global School University (EGS) Turkiye, Dr. Nour El Hoda Awada; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Istanbul Gelisim University, Abdülkadir Gayretli; dan Rektor, Istanbul Gelisim University, Profesor Dr. Bahri Şahin.
Ia merupakan pusat pendidikan pesisir antarabangsa kedua yang telah ditubuhkan oleh USM, selepas yang pertama di India, yang menawarkan Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE sejak tahun 2010.
USM juga telah melancarkan dua program pesisir baharu bersama Universiti Al-Mustaqbal di Iraq tahun lepas dan diikuti dengan perancangan untuk meluaskan peluang pendidikan ke China dan Uzbekistan tidak lama lagi.
Program pesisir membuka ruang bagi sesebuah universiti untuk memperluaskan akses pendidikan melangkaui batas kampus, sekali gus menawarkan ijazah kepada populasi pelajar dengan lebih meluas.
Sebagai pusat pendidikan pesisir antarabangsa, USM berupaya menarik lebih ramai pelajar secara global.
Kumpulan pelajar yang mendaftar untuk program pesisir akan memperoleh pendidikan berkualiti dan pengiktirafan yang sama dengan pelajar di kampus.
Istanbul Gelisim University adalah lokasi yang terbaik bagi USM menjalankan program pesisirnya, memandangkan Istanbul Gelisim University adalah institusi pendidikan tinggi di Turkiye dengan bilangan tertinggi bagi program antarabangsa yang diberi pengiktirafan.
Hal ini memastikan kesemua pelajar yang mengikuti program pesisir USM-EGS ini akan berpeluang memperoleh akses kepada kemudahan dan infrastruktur pembelajaran dan penyelidikan terkini.
Buat masa kini, program pesisir USM-EGS menawarkan lebih 30 bidang pengajian, termasuk Kejuruteraan, Sains Pergigian, Sains Farmasi, Perniagaan, Sains Sosial, Pengajian Islam, Bahasa, dan Teknologi Pendidikan.
Terkini, seramai 115 pelajar telah mendaftar, dengan 85 sedang menjalani pengajian PhD dan 30 ke arah melengkapkan ijazah Sarjana masing-masing.
Sewaktu lawatan, Zambry mencadangkan agar Istanbul Gelisim University dapat meluaskan usaha kolaborasinya bersama USM dan juga beberapa universiti lain di Malaysia.
Antara bidang yang berpotensi dilaksanakan kolaborasi adalah bidang semikonduktor dan teknologi dron.
Zambry juga menyarankan agar Istanbul Gelisim University turut serta dalam Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-Republik Türkiye yang telah ditubuhkan.
Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/Teks asal: Profesor Dr. Lee Keat Teong
- Created on .
- Hits: 77