PASUKAN DEBAT TIONGHUA USM MUNCUL NAIB JUARA PERINGKAT ASIA TENGGARA 2025, TURUT RANGKUL ANUGERAH PENDEBAT TERBAIK
PULAU PINANG, 13 April 2025 :- Pasukan Debat Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah muncul sebagai naib johan keseluruhan dalam pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2025 yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS1), Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM.

Format pertandingan ini menyaksikan perlawanan peringkat antarabangsa telah dijalankan secara atas talian dengan penglibatan sebanyak 13 pasukan debat dari universiti-universiti di seluruh Asia Tenggara pada 22 dan 23 Mac 2025 yang lalu.
Seterusnya 8 pasukan terbaik iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Asia Pacific University (APU), Universiti Multimedia Melaka, Universiti Malaya, Universiti Tunku Abdul Rahman (Sungai Long) dan Brickfields Asia College meneruskan perjuangan mereka dengan perlu hadir secara bersemuka di Universiti Sains Malaysia untuk pusingan kedua seterusnya separuh akhir dan akhir yang berlangsung pada 12 dan 13 April 2025 dan juara akan mewakili Asia Tenggara untuk menyertai Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia yang akan berlangsung di China pada hujung 2025.
Pertandingan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, USM, Mewakili Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (ADUN) Pulau Tikus, YB Joshua Woo Sze Zeng, Ting Heng Nguan mewakili penganjur bersama, Dr Campus, dan Pengerusi Interest Debate, Loo Fang Ting, , D

YBM Steven Sim dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat sama ada sebagai peserta mahupun sebagai jawatankuasa di belakang tabir. Beliau melihat kejayaan dalam pelaksanaan pertandingan ini sebagai titik permulaan dalam melahirkan pemimpin generasi baharu yang berdaya saing selain bersifat tegas dalam perjuangan dan matlamat.

Seterusnya, dalam ucapan yang disampaikan oleh Dato’ Narimah, beliau meluahkan rasa amat berbangga melihat semangat kesukanan dan persahabatan yang terjalin sepanjang pertandingan ini. Beliau juga yakin, kesemua peserta telah mempelajari lebih banyak ilmu pengetahuan, malah membina kemahiran pemikiran kritis, pemikiran logik, menganalisis dan berkomunikasi dan ternyata juga topik-topik perdebatan yang merangkumi isu-isu semasa dan relevan yang berkaitan dengan masyarakat, politik, ekonomi dan budaya turut berperanan sebagai platform untuk membina nilai, empati dan kesedaran sosial dalam kalangan generasi muda.
Mewakili pihak penganjur, Ting merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak universiti kerana memberi kebenaran untuk menganjurkan Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara di Universiti Sains Malaysia buat kali ketiga dan beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa yang terlibat kerana bertungkus-lumus dan penuh dedikasi dalam menjayakan program ini.
Sementara itu, Dr. Lee Pin Ling dalam ucapannya melihat program debat ini merupakan satu persembahan kebijaksanaan daripada peserta-peserta yang datang dari pelbagai institusi pengajian tinggi. Di sini, para peserta bukan sahaja berpeluang untuk mempamerkan bakat mereka, tetapi juga dapat meningkatkan dan melatih kemahiran perdebatan masing-masing.

Manakala selaku Pengarah Projek, Yong Kah Onn menyifatkan biarpun pertandingan ini sudah pun selesai, perjalanan dalam dunia pemikiran dan perbahasan baru sahaja bermula dan besar harapannya agar semua dapat membawa semangat rasional, keterbukaan dan toleransi ini ke dalam pembelajaran, kerjaya, dan kehidupan seharian bagi mencipta lebih banyak kejayaan untuk diri sendiri serta menyumbang kebijaksanaan kepada masyarakat.

Dalam pusingan akhir, Universiti Multimedia (MMU Melaka) telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan selepas menewaskan lawan seteru merangkap tuan rumah Universiti Sains Malaysia (USM) manakala E Jia Xi dari Pusat Pengajian Pengurusan USM telah dianugerahkan sebagai Pendebat Terbaik keseluruhan.

Turut hadir ke program tersebut ialah Yang Dipertua Persatuan Bahasa Tionghua, Universiti Sains Malaysia, Ng Wee Soom, Pengarah Projek Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2025, Yong Kah Onn serta Pegawai-Pegawai utama Universiti.
Seluruh warga USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Debat Persatuan Bahasa Tionghua USM di atas kejayaan yang amat membanggakan ini.
Teks: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 95