USM ANTARA DELEGASI KPT YANG SERTAI FORUM ANTARA UNIVERSITI TÜRKIYE-MALAYSIA
ISTANBUL, TÜRKIYE, 9 April 2025 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini menghadiri Forum Antara Universiti Türkiye-Malaysia yang pertama di Istanbul, Türkiye sebagai sebahagian daripada delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sedang mengadakan lawatan kerja di bandaraya terbesar di Türkiye itu.
Forum tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dan Timbalan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Republik Türkiye, Profesor Dr. H. Haldun Goktas.
Universiti dari Malaysia yang terlibat dalam Forum tersebut termasuk USM, UTM, UniMAS, UUM, UMP, UTP dan Sunway University, manakala dari Türkiye, ia disertai Istanbul Technical University, Boğaziçi University, Istanbul University-Cerrahpaşa, Ankara University, dan Middle East Technical University.
Sepanjang Forum, wakil universiti berpeluang membentangkan maklumat tentang institusi mereka serta potensi kerjasama akademik dan penyelidikan yang sedia ada.
Naib Canselor USM menggalakkan universiti-universiti Türkiye untuk menghantar pelajar mereka ke USM melalui program pertukaran jangka pendek dan mobiliti.
Dalam aspek penyelidikan, beliau turut menawarkan kepakaran USM dalam bidang semikonduktor dan kelestarian.
Bidang kritikal lain dengan potensi besar untuk jalinan kerjasama antara universiti Malaysia dan Türkiye termasuk kecerdasan buatan (AI) (Universiti Teknologi Malaysia), kelestarian (Universiti Malaysia Sarawak), dan petrokimia (Universiti Teknologi PETRONAS).
Selain itu, Zambry turut menjemput semua universiti Türkiye untuk menghadiri Festival of Ideas yang akan dianjurkan oleh KPT pada akhir tahun ini, yang bermatlamat untuk memupuk wacana intelektual dan inovasi, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab global bagi ilmu pengetahuan dan kreativiti.
Menurut beliau juga, diharap agar universiti tempatan boleh menyediakan dana permulaan untuk projek penyelidikan bersama dengan universiti Türkiye, sebagai usaha dalam memperkukuhkan kerjasama strategik dalam pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Teks asal: Professor Dr. Lee Keat Teong
- Created on .
- Hits: 133