MALAYSIA, TÜRKIYE TUBUHKAN JAWATANKUASA BERSAMA BAGI MEMPERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PENDIDIKAN TINGGI
ISTANBUL, TÜRKIYE, 8 April 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah diberikan penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada delegasi Malaysia ke Istanbul, Türkiye bagi menghadiri Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-Republik Türkiye buat julung kalinya.
Program ini dipengerusikan bersama oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Republik Türkiye, Profesor Dr. Erol Özvar.
Malaysia diwakili oleh pelbagai agensi pusat, di antaranya adalah Education Malaysia Global Services (EMGS), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), dan beberapa universiti tempatan seperti USM, UTM, UniMAS, UTP dan Universiti Sunway.
USM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed. Beliau diiringi oleh Pengarah Bahagian Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Lee Keat Teong.
Menurut Zambry, Jawatankuasa Bersama (JC) ini telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dan akan bermesyuarat secara tahunan, dengan lokasi mesyuarat digilirkan di antara Malaysia dan Türkiye.
Bagi memastikan JC ini dapat memberikan hasil dengan segera dan berimpak tinggi, satu Jawatankuasa Kerja akan ditubuhkan bagi menetapkan sasaran serta memantau kerjasama ini.
Antara bentuk kerjasama yang telah dikenal pasti adalah program ijazah bersama, latihan industri pelajar dalam industri teknologi tinggi, program mobiliti, kecerdasan buatan (AI), pembiayaan bersama pendidikan dan pembiayaan Erasmus.
Selain itu, satu lagi bentuk kerjasama penting adalah pertukaran maklumat di antara Universiti Penyelidikan (RU).
![]() |
![]() |
Majlis Pendidikan Tinggi Republik Türkiye telah memperkenalkan RU di Türkiye pada tahun 2017, yang mana prestasi universiti penyelidikan akan dinilai melalui Indeks Pemantauan Prestasi, merangkumi 33 penanda aras di bawah tiga dimensi utama, iaitu “Kapasiti Penyelidikan”, “Kualiti Penyelidikan”, dan “Interaksi dan Kerjasama.”
Indeks ini adalah sangat mirip dengan Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) yang dibangunkan pada tahun 2006 untuk memenuhi agenda Universiti Penyelidikan Malaysia. Pada masa ini, Malaysia memiliki 5 RU manakala Türkiye memiliki 23.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran sebelum ini menyatakan bahawa pengiktirafan bersama akan diberikan oleh MQA kepada institusi yang telah diiktiraf oleh kerajaan Türkiye.
Kerjasama lain yang turut dibincangkan termasuk pertukaran pelajar/fakulti, pembiayaan bersama penyelidikan (yang mana satu bidang penyelidikan akan dikenal pasti dan dana akan disumbangkan oleh kedua-dua pihak), latihan pegawai kanan pendidikan tinggi daripada kementerian dan pengurusan tinggi universiti dari kedua-dua negara, penambahan biasiswa bagi pelajar Malaysia untuk menyambung pelajaran di Türkiye, latihan teknikal dan vokasional (dalam bidang TVET) dan pembangunan kurikulum.
Semasa mesyuarat JC ini, USM turut menandatangani pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua universiti Türkiye, Universiti Kocaeli dan Universiti Hacettepe.
Zambry kemudiannya menekankan keperluan ke arah kerjasama ini dan setiap MoU yang ditandatangani haruslah disusuli dengan pelaksanaan aktiviti berimpak tinggi, jika tidak, ia hanya akan kekal di atas kertas.
Mesyuarat ini menggambarkan komitmen kedua-dua pihak dalam usaha mempromosi dan memperkasa inisiatif kolaborasi strategik pada masa akan datang.
Mesyuarat JC yang seterusnya telah dipersetujui untuk diadakan di Malaysia.
Terjemahan: Norliza Farhah Abdul Radzak/Teks asal: Profesor Dr. Lee Keat Teong
- Created on .
- Hits: 123