USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KHIDMAT SUKARELAWAN PELAJAR USM BANTU PENYEDIAAN DAN AGIHAN IFTAR SEPANJANG RAMADAN

484011052 1139377324653560 2264112207778615908 n

USM PULAU PINANG, 13 Mac 2025 – Saban tahun, penyediaan dan pengagihan juadah berbuka puasa kepada warga kampus di sepanjang bulan Ramadan yang dikelola oleh Pusat Islam USM tentunya memerlukan tenaga kerja yang ramai bagi memastikan setiap aktiviti yang diadakan dapat berjalan dengan jayanya.

Tidak ketinggalan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (BHEPA USM) melalui Pusat Pembangunan Pelajar (PPP) turut berbesar hati menghantar sukarelawan pelajar seramai 50 orang untuk bertugas secara berganti-ganti.

483488830 1139377267986899 7044882121074104643 n   483891575 1139377231320236 8472907440037720777 n

Sukarelawan yang dihantar adalah terdiri daripada mereka dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) dan Persatuan Mahasiswa Islam yang tidak pulang ke kampung halaman untuk bercuti semester.

Mereka sudi meluangkan masa untuk membantu menyediakan juadah secara bergotong-royong di perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM setiap hari di sepanjang bulan Ramadan.

Pada tahun ini, memandangkan pelajar sepenuh masa Semester 1 sedang bercuti, Pusat Islam menganggarkan sebanyak 1,500 orang warga USM akan hadir setiap hari bagi menikmati juadah berbuka yang disediakan secara percuma.

Bermula awal pagi untuk proses penyediaan makanan sehingga waktu edaran jam 7.15 petang, antara aktiviti lain yang dilakukan ialah pengagihan bubur lambuk yang dijalankan pada hari tertentu iaitu Selasa, Rabu dan Khamis.

Sukarelawan pelajar bukan sahaja ditugaskan untuk mengagihkan makanan tetapi mereka juga diberi amanah dan tanggungjawab untuk membantu penyediaan juadah di dapur seperti memotong, mengisar dan mengacau bubur lambuk.

483542034 1139377197986906 8080046164963892038 n   483889084 1139377161320243 2982335349722695453 n

Pengarah PPP, Profesor Dr. Azizah Omar turut hadir menyantuni dan membantu para sukarelawan yang bertugas.

Beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada semua sukarelawan yang bertungkus lumus dalam memastikan kelancaran pengagihan makanan sepanjang Ramadan.

“Dengan kehadiran para sukarelawan ini diharap dapat meringankan beban Pusat Islam USM serta dapat memberi manfaat kepada seluruh warga kampus,” katanya.

484012224 1139377114653581 5009471245686799910 n

Pelaksanaan program dan aktiviti tahunan ini secara tidak langsung telah memperkasa agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2: Kelaparan Sifar (SDG 2) dengan berkongsi rezeki serta dapat mengurangkan perbelanjaan mereka yang berada dalam golongan berpendapatan rendah (B40).

Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM

  • Created on .
  • Hits: 47

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024