SAHUR ON THE STREET: GANDINGAN MYDP MPD-MPP PERKASA S4S, SANTUNI KAKITANGAN AWAM SEKITAR PULAU PINANG
GEORGETOWN, PULAU PINANG, 13 Mac 2025 – Majlis Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa (MYDP MPD) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) telah berganding bahu untuk menyantuni kakitangan perkhidmatan awam yang bertugas pada syif malam di sekitar Pulau Pinang melalui Program Sahur On The Street.
Turut hadir dalam program tersebut adalah Yang Dipertua MPP USM, Muhammad Arif Esa; barisan Exco MPP; dan barisan Majlis Tertinggi MYDP MPD.
Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, sebanyak 60 bungkus makanan sahur telah diagihkan kepada petugas-petugas barisan hadapan penjawat awam yang bertugas di Balai Polis, Balai Bomba, dan Hospital Pulau Pinang.
Inisiatif tersebut bukan sekadar menghulurkan juadah sahur, tetapi juga mencerminkan nilai penghargaan, semangat keprihatinan sosial dan solidariti yang selari dengan aspirasi Student for Society (S4S) iaitu komitmen mahasiswa dalam memimpin dengan nilai, menyumbang dengan keikhlasan dan memberi impak kepada komuniti.
Program tersebut turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2: Kelaparan Sifar dengan memastikan akses kepada makanan berkhasiat bagi semua golongan yang berkhidmat tanpa mengira waktu.
Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM serta seluruh warga kampus mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pelajar yang telah menjayakan program tersebut.
![]() |
![]() |
Semoga semangat kesukarelawanan dan kepimpinan mahasiswa terus berkembang dalam memberi inspirasi kepada pelajar lain serta membawa perubahan positif kepada masyarakat umum.
"Sahur dengan kasih, berbakti dengan ikhlas.”
Teks: Wong Yee Leng (Setiausaha II MYDP MPD)/Foto: Media MYDP MPD dan MPP/Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 52