USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARI SIFAR SISA ANTARABANGSA 2025: USM KE ARAH KAMPUS SIFAR SISA

PHOTO 2025 04 04 10 56 45

USM PULAU PINANG, 30 Mac 2025 – Sempena Hari Sifar Sisa Antarabangsa yang disambut setiap 30 Mac, Universiti Sains Malaysia (USM) menyeru seluruh warga kampus untuk mengamalkan budaya sifar sisa dalam kehidupan seharian sebagai langkah proaktif ke arah kelestarian alam sekitar.

Seruan itu dilakukan menerusi hebahan e-mel rasmi hari ini oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BIJIM) USM. 

Berdasarkan data yang dikumpul oleh Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) USM, purata sisa yang dihasilkan oleh seorang warga USM ialah 53kg setahun.

Hasil kajian JPPF USM juga mendapati terdapat peningkatan secara ketara jumlah sisa yang dihasilkan oleh USM ke tapak pelupusan sampah dari tahun 2021 (2,170,000 kg) ke tahun 2023 (2,595,000 kg) iaitu 425,000 kg.   

Lonjakan ini menunjukkan trend peningkatan sisa yang membimbangkan, sekali gus menegaskan keperluan untuk melaksanakan strategi pengurusan sisa yang lebih berkesan.

Jika trend ini berterusan, ia bukan sahaja akan meningkatkan kos pengurusan sisa kampus tetapi juga memberi kesan negatif kepada alam sekitar, termasuk pelepasan karbon yang lebih tinggi akibat proses pelupusan dan pembakaran sampah.

Justeru, USM telah mengenal pasti beberapa langkah proaktif untuk mengurangkan sisa yang dihasilkan.

Antara langkah yang disarankan adalah untuk mengamalkan konsep 5R - Rethink, Refuse, Reduce, Reuse dan Recycle yang melibatkan pengasingan sisa dengan betul dan penggunaan semula barangan kitar semula melalui pendekatan upcycle yang dapat membantu mengurangkan pengeluaran sisa di kampus.

Selain itu, penggunaan plastik sekali guna perlu dikurangkan dengan membawa bekas makanan, botol minuman dan peralatan makan sendiri.

Turut digalakkan ialah menggunakan bahan pembungkusan bersifat biodegradable atau boleh digunakan semula bagi mengurangkan pencemaran plastik di kampus.

USM menitikberatkan kemudahan kitar semula dengan menyediakan tong kitar semula di pejabat, desasiswa dan lokasi utama di kampus untuk menggalakkan warga kampus mengasingkan sisa dengan lebih efektif.

Rekod kutipan dan penjualan sisa kitar semula juga perlu dikemaskini secara berkala bagi memantau keberkesanan usaha ini.

Bagi mengurangkan pembaziran kertas pula, warga kampus disarankan untuk mengumpulkan kertas draf untuk digunakan semula dalam bekas khas, serta mengelakkan daripada mencetak e-mel kecuali benar-benar diperlukan.

Bagi menangani sisa elektronik, USM menyeru warganya untuk mengitar semula atau melupuskan sisa elektronik seperti peranti komputer dan telefon bimbit dengan cara yang betul.

Sementara itu, lebihan makanan boleh didermakan kepada mereka yang memerlukan atau dijadikan baja kompos untuk mengurangkan membaziran makanan.

Amalan pengurusan sisa tersebut di atas dapat membawa impak dan kesan positif termasuk pengurangan kos pengurusan sisa kampus; dan penjimatan kos itu boleh disalurkan sebagai dana untuk pembangunan akademik dan infrastruktur lain di kampus.

Pengurangan sisa juga membantu pengekalan sumber semula jadi, selaras dengan usaha menyokong kelestarian global yang bertujuan mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar.

Usaha ini turut membantu mengurangkan jejak karbon kampus, sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang memberi kesan buruk kepada iklim.

Sebagai sebuah universiti yang berteraskan kelestarian, USM komited dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta mengajak seluruh warga kampus bersama-sama menjadikan universiti ini sebagai model kampus sifar sisa yang lestari dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Mari kita bersama-sama menjadikan USM sebagai kampus sifar sisa demi kesejahteraan semua!

Sumber: Hantaran emel kepada warga USM bertajuk HARI SIFAR SISA ANTABANGSA, 30 MAC 2025: USM KE ARAH KAMPUS SIFAR SISA pada 30 Mac 2025 oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM/ Teks: Hema Vathi Kumaraguru, pelajar latihan industri Pusat Media dan Perhubungan Awam, USM/ Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 139

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024