LEBIH 600 JUTA ORANG DEWASA MENGHADAPI MASALAH OBESITI SELURUH DUNIA
KUBANG KERIAN, 14 Jun 2015 - Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 600 juta orang yang berumur 18 tahun ke atas menghadapi masalah lebih berat badan atau obesiti di seluruh dunia menyebabkan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular terutama darah tinggi sehingga menjadi penyebab kelima kematian di dunia.
Menurut Pensyarah Perubatan Kanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Dr. Wan Amir Nizam Wan Ahmad yang membentangkan kajiannya berkata, obesiti menjadi penyumbang kepada masalah lemak pada hati dan penyumbatan salur darah.
Wan Amir Nizam merupakan salah seorang dari 11 orang yang membentangkan kertas kerja dalam Simposium Cara Hidup Sihat peringkat antarabangsa yang berlangsung di Universiti Brunei Darussalam melalui telesidang pagi ini dengan tema Inovasi dalam Obesiti dan Diabetes dari sudut pencegahan dan kawalan.
Simposium ini menghimpunkan penyelidik-penyelidik kesihatan dari negara-negara yang berbeza dan merupakan platform terbaik untuk menjana pencegahan dan kawalan terhadap obesiti."Kajian yang dilakukan terhadap sampel tikus dengan memberi makanan berdiet lemak tinggi selama tempoh 6 minggu menunjukkan berlakunya peningkatan berat badan tikus daripada 200 gram kepada 450 gram dengan peningkatan berat badan tikus tersebut memberikan kesan kepada hati (accuted fatty liver disease) yang menjurus ke arah hipertensi", katanya.
Simposium yang melibatkan kolaborasi antara Universiti Brunei Darussalam, Chiang Mai University Thailand dan Kanagawa University Japan diharap dapat merangsang aktiviti penyelidikan dan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan serta mengenal pasti latihan untuk ahli akademik dan penyelidik dalam pencegahan dan kawalan sekaligus memperkenalkan pendekatan inovatif ke arah amalan gaya hidup sihat. - Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 1181