USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, GREEN CEMENT METERAI PERJANJIAN PERLESENAN TEKNOLOGI DAN KOLABORASI PENYELIDIKAN; KE ARAH INDUSTRI PEMBINAAN YANG LEBIH MAMPAN

USM PULAU PINANG, 6 Mac 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Green Cement Sdn. Bhd., anak syarikat Chin Hin Group Berhad, telah menandatangani Perjanjian Perlesenan Teknologi dan Kolaborasi Penyelidikan baru-baru ini.

Acara yang berlangsung di VIP Lounge, Tingkat 6, Bangunan Canselori, USM pada 14 Februari 2025, menunjukkan komitmen teguh kedua-dua pihak terhadap inovasi, kemampanan, dan kerjasama demi mencipta masa depan industri pembinaan yang lebih mampan.

Dalam majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab menandatangani dokumen perjanjian tersebut bagi pihak USM, manakala Chin Hin Group Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ng Wai Luen.

Turut hadir sebagai saksi ialah Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan (Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan USM); Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin (Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM); Profesor Madya Ir. Dr. Cheah Chee Ban (Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan USM); Lim Pui Boon (Pengurus Besar Kumpulan Bahan Binaan, Chin Hin Group Berhad); dan Lim Si Kai (Pengurus Operasi Kanan, Green Cement Sdn. Bhd.).

Habibah menyambut baik kerjasama tersebut sebagai langkah penting dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim dan usaha pemeliharaan kelestarian alam sekitar.

Katanya, ia menggabungkan penyelidikan berteknologi tinggi dalam bidang bahan binaan dengan kepakaran industri untuk menghasilkan penyelesaian mampan yang praktikal dan berimpak tinggi bagi sektor pembinaan.

“Tujuan utama kerjasama ini adalah untuk melesenkan teknologi konkrit hijau inovatif yang dibangunkan oleh Profesor Madya Ir. Dr. Cheah Chee Ban dan kumpulan penyelidikannya, untuk pembuatan produk konkrit mampan yang sesuai digunakan dalam industri pembinaan.

“Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan untuk memajukan penyelidikan dalam pembangunan bahan binaan mampan dengan memanfaatkan hasil sampingan industri, yang akan mengurangkan kebergantungan pada sumber semula jadi dan meminimumkan pelepasan karbon dari sektor pembuatan bahan binaan,” jelas Habibah.

Habibah merakamkan penghargaan kepada Chin Hin Group Berhad dan Green Cement Sdn. Bhd. atas kepercayaan mereka terhadap keupayaan penyelidikan USM serta komitmen mereka dalam agenda pembangunan lestari.

Sementara itu, Wai Luen mengharapkan gabungan antara akademia dan industri ini dapat membangunkan bahan binaan mesra alam yang memenuhi standard kemampanan serta mematuhi piawaian teknikal industri pembinaan.

Menurutnya, kerjasama tersebut berpotensi untuk mengurangkan sisa dan jejak karbon, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan penjimatan kos dalam sektor pembinaan dan pembuatan, serta menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

"Selain itu, kerjasama ini akan menyumbang kepada pembinaan bangunan dan infrastruktur mampan, selaras dengan sasaran pengurangan emisi karbon global dan nasional, yang amat diberi penekanan oleh Chin Hin Group Berhad," tegasnya.

Wai Luen juga bersyukur dapat bekerjasama dengan pihak USM, dan melihat kerjasama ini sebagai satu langkah penting dalam menggariskan kepentingan perkongsian antara akademia dan industri untuk memacu inovasi serta menangani cabaran global.

Teks: Profesor Madya Ir. Dr. Cheah Chee Ban, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM & Pusat Inovasi dan Perundingan USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 50

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024