WARGA USM PERLU GUNA MASA SECARA EFEKTIF
PULAU PINANG, 12 Jun 2015 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) diminta untuk menggunakan masa kerja secara efektif dan sebaik mungkin selain memberikan komitmen tinggi terhadap bidang tugas harian bagi memastikan kualiti kerja sentiasa di tahap yang membanggakan.
“Ketua-ketua jabatan perlu memastikan dan meneliti pembahagian kerja staf masing-masing agar setimpal supaya memikul tugas dengan sewajarnya secara optimum,” kata Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman pagi ini.
Bercakap kepada warga staf Canselori dalam Perhimpunan Bulanan di sini, Naib Canselor meminta agar seluruh warga USM bersama-sama menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti selari dengan taraf universiti berkelas dunia.
“Tanggungjawab itu perlu digalas dengan sebaik mungkin melalui kerjasama semua pihak termasuk kakitangan di pelbagai lapisan pentadbiran universiti,” katanya lagi.
Omar turut mengingatkan warga universiti agar terus meningkatkan tahap kecekapan kerja dan memastikan sumber-sumber yang ada juga digunakan secara berhemah, selain mengamalkan amalan bersederhana dalam semua hal-hal berkaitan.
“Ruang-ruang yang ada di dalam pejabat serta kemudahan makmal di pusat pengajian dan pusat penyelidikan perlu digunakan secara efektif dan seoptimum yang mungkin, serta menggunakan sumber secara berhemah,” tegasnya lagi yang turut menegur mereka yang menggunakan waktu pejabat untuk hal-hal peribadi termasuk membuang masa keterlaluan dengan media sosial.
Turut memberikan ucapan dalam perhimpunan tersebut ialah Timbalan Bendahari Kanan, Jabatan Bendahari Mohammad Abdullah yang berkongsi pengalaman, cabaran dan detik indah beliau selama 30 tahun berkhidmat di USM apatah lagi pengalamannya sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Tugas pentadbir bukanlah mudah, pelbagai cabaran dan tekanan perlu ditempuhi namun dengan usaha serta semangat yang jitu serta amanah dalam setiap tugasan yang dilakukan, tidak mustahil kejayaan pasti milik kita,” kata Mohammad.
Pembantu Tadbir Kanan Jabatan Pendaftar, Erman Kamal Mustafa Kamal yang mewakili staf sokongan pula berpesan kepada rakan-rakan yang hadir agar amanah yang diberikan digalas dengan sebaik mungkin dan memastikan kekal relevan dalam universiti.
“Amalkan budaya kerja yang sihat dan keluar daripada rutin kerja harian dengan menerokai peluang-peluang baharu seperti melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti-aktiviti universiti agar bakat dan keupayaan diri dapat dikembangkan sepenuhnya,” ujar penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2006 ini. - Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim.
- Created on .
- Hits: 1030