USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOR SISPA USM DINOBATKAN SEBAGAI KOMPENI KOR SISPA TERBAIK TAHUN 2024

USM PULAU PINANG, 24 Mac 2025 – Kor Sukarelawan Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya dinobatkan sebagai Kompeni Kor SISPA Terbaik Tahun 2024 sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Kali Ke-73 Tahun 2025.

Anugerah Kor Sispa Terbaik

Majlis penganugerahan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), YAS TPj. (PA) Hj. Abdul Wahab Hj. Rahim bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, YAS TPj. Bersekutu (PA) Dato’ Ismail Mohd Zawawi, di Dewan Tun Perak, Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA).

Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang Kor SISPA USM dalam aspek latihan, penglibatan komuniti, disiplin, serta komitmen yang tinggi dalam aktiviti berkaitan pertahanan awam sepanjang tahun 2024.

Menurut Komandan Kor SISPA USM merangkap Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, PPj. Kehormat (PA) Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, kejayaan ini adalah hasil usaha berpasukan Pegawai Kadet SISPA USM serta sokongan padu daripada pihak universiti dan pihak APM Negeri Pulau Pinang, serta Pegawai Bersekutu dan jurulatih-jurulatih Kor SISPA USM.

“Kami amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Ia bukan sahaja satu penghormatan buat USM, tetapi juga membuktikan bahawa mahasiswa kita mampu memberi sumbangan yang besar dalam bidang pertahanan awam,” katanya.

Pada majlis yang sama, Kol. Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim dan Lt. Kol. Bersekutu (PA) Hafiz Assad Zakaria, masing-masing juga telah menerima anugerah Ajutan Kor SISPA Terbaik 2024 atas jasa dan sumbangan mereka dalam APM dan Kor SISPA.

L44A8302

Dengan pencapaian ini, Kor SISPA USM bertekad untuk terus memperkasa peranannya dalam membentuk mahasiswa yang berdisiplin, berketerampilan, dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan pada masa hadapan.

IMG 5154

USM juga berhasrat untuk menjadi pusat kecemerlangan latihan Kor SISPA di peringkat nasional dalam usaha menyumbang kepada keselamatan, kesejahteraan dan pembangunan negara selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) disambut setiap 24 Mac sebagai acara tahunan utama warga APM.

Teks & Foto: Gs. Dr. Mohd Amirul Mahamud, Kor SISPA USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 197

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024