IFTAR PERDANA PROGRAM TAHUNAN ERAT UKHUWAH NAIB CANSELOR BERSAMA WARGA KAMPUS DAN KOMUNITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Mac 2025 – “Majlis ini bukan sekadar berbuka puasa, tetapi juga satu wadah untuk mengeratkan ukhuwah dan persaudaraan antara kita sebagai satu keluarga besar Universiti Sains Malaysia (USM).
“Ia mencerminkan semangat kebersamaan dan kasih sayang yang kita pupuk dalam menjalankan amanah serta tanggungjawab di kampus yang tercinta ini,” demikian petikan ucapan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam Majlis Iftar Perdana Naib Canselor Bersama Warga Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Menurut beliau, bagi menghidupkan bulan yang penuh keberkatan ini, pelbagai aktiviti telah dirancang dan dilaksanakan demi manfaat seluruh warga kampus.
“Antaranya ialah Solat Tarawih berjemaah yang dipimpin oleh imam dalam kalangan pelajar USM, staf Pusat Islam serta Imam Masjid Mukim Kampus Kesihatan.
“Solat Tarawih ini juga berperanan sebagai medan untuk eratkan ukhuwah dalam kalangan warga Kampus Kesihatan dan kariah Masjid Mukim Kampus Kesihatan,” katanya.
Tambah Abdul Rahman, program gotong-royong penyediaan juadah berbuka turut dilaksanakan untuk kira-kira 1,200 orang sehari melibatkan pelajar USM, peneman pesakit Hospital Pakar USM, staf yang bertugas syif petang dan kariah masjid.
“Selain itu, jamuan berbuka yang diadakan hari ini juga melibatkan anak-anak yatim, pelajar tahfiz, pelajar orang kurang upaya (OKU) dan para pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Aktiviti ini turut diperluas kepada pelajar bukan Islam (non-Muslim) melalui program ‘Ramadan with Us’ bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka tentang ibadah puasa.
“Di samping itu, bagi meringankan beban dan memudahkan urusan bersahur, Jawatankuasa Induk Aktiviti Ramadan Kampus Kesihatan USM juga telah menyediakan bantuan atau peruntukan sahur untuk para pelajar, yang mana pelajar hanya perlu mengambil makanan sahur di kantin desasiswa masing-masing,” ujarnya lagi.
Abdul Rahman berkata, pengisian bulan Ramadan turut diperkaya dengan program keilmuan dan kerohanian seperti daurah di Masjid Mukim Kampus Kesihatan, Surau Hospital Pakar USM dan Surau Blok Pentadbiran Hospital Pakar USM.
![]() |
![]() |
“Program ini merangkumi forum, kelas tadabbur al-Quran serta perbincangan ilmiah berkaitan Ramadan yang bertujuan membentuk sahsiah unggul dalam kalangan warga USM.
“Marilah kita sama-sama memanfaatkan detik-detik Ramadan yang masih berbaki ini dengan memperbanyakkan amal ibadah, bersikap sabar, bersedekah dan memperkukuhkan ukhuwah sesama kita,” jelasnya.
![]() |
![]() |
![]() |
Dalam majlis yang sama turut berlangsung beberapa penyampaian sumbangan iaitu zakat kepada pelajar USM, sumbangan ke Tabung Aktiviti Ihya’ Ramadan Kampus Kesihatan USM, sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim Darul Kautsar, pelajar Maahad Tahfiz Dar Al-Hadith An-Nabawi, pelajar MRSM Pasir Tumboh dan pelatih OKU, Pusat Transformasi OKU USM – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Pengerusi Tabung Wakaf Tunai MAIK – Kampus Kesihatan USM, Profesor Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed; Pengarah Eksekutif, Ketua Kumpulan Perubatan Usains Healthcare Sdn. Bhd., Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; dekan-dekan, pengarah-pengarah dan ketua-ketua Jabatan Kampus Kesihatan USM.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 87