USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KONGSI REZEKI, SANTUNI KANAK-KANAK PESAKIT KRONIK DI HOSPITAL PULAU PINANG

 

RFGER.jpg

GEORGE TOWN, 21 Mac 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan masyarakat menerusi program amal sepanjang bulan Ramadan apabila menganjurkan program kongsi rezeki menyantuni kanak-kanak pesakit kronik di Hospital Pulau Pinang.

Melalui Kelab Kebajikan Kakitangan (KKK) Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP), Universiti Sains Malaysia, program ini dilaksanakan hasil kerjasama dan sumbangan melibatkan warga staf akademik dan pentadbiran dari pusat Pengajian berkenaan.

IMG-20250322-WA0041.jpg

Menurut Timbalan Pengerusinya, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Faisal Abas, seramai 45 orang kanak-kanak yang mengalami penyakit kronik di Wad Pediatrik Onkologi dan Nefrologi Hospital Pulau Pinang menerima sumbangan berupa hadiah dan duit raya sebagai dorongan emosi serta semangat untuk terus melawan penyakit, khususnya bagi mereka yang menjalani rawatan sepanjang bulan Ramadan.

“Sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka, jururawat yang bertugas di wad kanak-kanak pesakit kronik turut diberikan cenderahati,” kata beliau.

Selain itu, KKK PPPBP turut menyumbangkan barangan permainan dan alat bantu mengajar kepada Unit Pemulihan Perubatan Cara Kerja Hospital Pulau Pinang.

gh_10.jpeg

Sumbangan tersebut diterima oleh Pegawai Unit Pemulihan, Puan Zurlina Mahmood, bagi membantu kanak-kanak menjalani aktiviti pembelajaran secara normal meskipun berada di hospital.

Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan berterusan, kelab ini turut menyerahkan sumbangan kain kafan kepada Unit Hal Ehwal Islam Hospital Pulau Pinang, yang diwakili oleh Ustaz Muhammad Zul Atfi Hijjaz, bagi keperluan urusan jenazah.

gh_6.jpeg

Program ini mendapat sokongan penuh daripada Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr. Goh Hin Kwang, bersama Timbalan Pengarah Perubatan, Dr. Ibrahim Tahir Dato’ Dr. Hj. N Anwar, serta dibantu oleh Ketua Unit Perhubungan Awam, Encik Ridhwan Nazmi Roslan yang turut hadir memeriahkan program tersebut.

Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelajar Tahfiz

Dalam usaha memperkukuh ikatan silaturahim dan nilai kebersamaan, KKK PPPBP turut menganjurkan majlis berbuka puasa bersama pelajar tahfiz dan mudir dari Ma’had Tahfiz Al Ahmad Darul Quran.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan PPPBP, Prof. Madya Sr. Ts. Dr. Md. Azree Othuman Mydin, diikuti dengan penyampaian cenderahati dan duit raya kepada pihak tahfiz.

WhatsApp_Image_2025-03-22_at_21.46.30_1.jpeg

Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil yang diketuai oleh pelajar tahfiz sebelum masuk waktu berbuka.

Seusai jamuan berbuka puasa, program diakhiri dengan solat berjemaah, menzahirkan keberkatan dan semangat ukhuwah sepanjang bulan yang mulia ini.

WhatsApp_Image_2025-03-22_at_21.46.30.jpeg

WhatsApp_Image_2025-03-22_at_21.46.29_1.jpeg

Komitmen USM dalam melaksanakan program kemasyarakatan sebegini bukan sahaja memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat tetapi juga menjadi platform untuk menyemai nilai keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan warga universiti.

Teks: Prof. Madya Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin & Dr. Nor Zarifah Maliki, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM/ Suntingan: Rebecal Armugam, Pelajar latihan Industri Pusat Media dan Perhubungan Awam, USM/ Foto: Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM
 
  • Created on .
  • Hits: 193

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024