SIDANG SISWI KEBANGSAAN 2025 PERTEGUH KOMITMEN ANGKAT MARTABAT WANITA: PEMERKASAAN SDG 5
USM PULAU PINANG, 4 Mac 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama USM Pink dan Persatuan Wanita USM dengan kerjasama Penang Women’s Development Corporation (PWDC) telah menganjurkan program Sidang Siswi 2025: Accelerate Action selama tiga hari bermula 26 Februari 2025 sebagai antara aktiviti sempena Hari Wanita Sedunia 2025 MPP USM.
Persidangan dua hari itu dikemudi oleh Alka Kaur Sandhu selaku Pengarah Program merangkap Timbalan Yang Dipertua MPP USM, dan melibatkan seramai 26 wakil MPP dari 11 Universiti Awam iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dan juga tuan rumah Universiti Sains Malaysia (USM).
![]() |
![]() |
Antara objektif utama persidangan tersebut adalah untuk mengumpulkan cadangan-cadangan dan memperhalusi idea tuntas menjurus kepada agenda pemerkasaan golongan wanita, khususnya mahasiswi Se-Malaysia.
Persidangan tersebut menggabungkan elemen kursus, bengkel, dan wacana isu.
Sidang Siswi Kebangsaan merupakan titik permulaan untuk pembinaan jaringan rapat yang kondusif bagi seluruh mahasiswi yang menjadi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Se-Malaysia bagi kerjasama memartabatkan kepentingan bersama mahasiswi negara.
Perasmian penutupan program dilangsungkan di Dewan Undangan Negeri, Pulau Pinang dan telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang; bersama kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dato' Seri Norliza Abdul Rahim; serta YDP MPP USM, Muhamad Arif Esa.
Law dalam ucapannya memuji semangat dan kesungguhan pelbagai hasilan kajian yang ditampilkan oleh para wakil MPP dalam membahaskan isu-isu semasa di samping selitan cadangan tuntas untuk memperbaiki dasar dan naratif semasa.
Beliau juga berharap agar program tersebut akan dijadikan sebagai salah satu program tahunan MPP Se-Malaysia.
Sementara itu, Shaharum dalam ucapan alu-aluannya, amat yakin bahawa usul-usul utama yang dibahaskan dalam persidangan pertama itu akan menjadi asas kepada tujahan baru pemerkasaan generasi muda wanita seluruh negara.
![]() |
![]() |
“Paling penting, usaha ini mampu membina naratif positif untuk membantu kerajaan dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 5 yang menekankan kesaksamaan gender,” katanya.
Antara usul yang dibahaskan dan diperdebatkan adalah seperti meningkatkan sokongan pendidikan dan kebajikan pelajar B40 yang melanjutkan pelajaran jauh dari kampung halaman, fleksibiliti polisi universiti untuk mahasiswi yang berkeluarga, dan juga membendung kemelut kemiskinan dalam kalangan mahasiswi.
Program yang julung kali diadakan itu ternyata memberi peluang kepada wakil MPP yang hadir untuk menimba pengalaman sebenar persidangan yang diketuai sendiri oleh Dato’ Seri Law Choo Kiang dan Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim sebagai Speaker.
Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng turut hadir mengendalikan bengkel sesi perkongsian Pemerkasaan Pemimpin Muda Wanita, yang mana bengkel itu adalah selaras dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2025.
![]() |
![]() |
Turut hadir dalam bengkel yang dijalankan di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA, USM adalah Timbalan Presiden Persatuan Wanita USM, Salasiah Zakaria; dan Dr. Zaireeni Azmi, wakil Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM.
Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
- Created on .
- Hits: 100