USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CAKNA KESIHATAN DALAM BICARA RAMADHAN

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Jun 2015 – Penjagaan kesihatan amatlah penting terutamanya pada bulan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi. Menyedari hal itu, Pusat Islam Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program Bicara Ambang Ramadhan dan Pelancaran Program Ihya Ramadhan di sini hari ini.

Menurut Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Mafauzy Mohamed, program ini diadakan untuk meningkatkan ilmu dan tahap kesedaran para peserta dalam menyiapkan diri bagi mengoptimumkan manfaat di bulan Ramadhan terutamanya dalam penjagaan kesihatan dan peningkatan jati diri.

“Bulan Ramadhan adalah peluang yang terbaik untuk meningkatkan mutu kesihatan dengan mengawal diet semasa mengamalkan ibadah puasa serta amalan pemakanan yang sihat terutama dalam pengambilan gula yang tidak berlebihan yang boleh mengundang pelbagai penyakit kronik seperti diabetes atau kencing manis,” katanya semasa merasmikan program tersebut.

Tambah Mafauzy, sebanyak RM1,500 sehari diperuntukkan kepada Pusat Islam Kampus Kesihatan untuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada pelajar dan warga staf.

Sementara itu, penceramah undangan dari Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Dr Abdul Bassit Abdul Rahman berkata, bulan Ramadhan penuh dengan keberkatan yang diturunkan rahmat oleh Allah s.w.t  yang memberi peluang keemasan untuk meningkatkan tahap keimanan seumpama madrasah terbaik untuk membentuk jati diri setiap mukmin dan mampu menyumbang kepada sahsiah diri yang terpuji dan terpimpin berlandaskan agama dan syariat. 

“Bulan Ramadhan diiktiraf oleh Allah s.w.t sebagai bulan rahmat tetapi di dalamnya terdapat pelbagai rukun-rukun yang perlu dipatuhi supaya ibadah tersebut tidak terbatal,” ujarnya.

Abdul Bassit turut berpesan kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan hadis palsu berkaitan puasa agar tidak menerima atau menyebarkan tanpa memastikan kesahihan hadis tersebut.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Dr Wan Nudri Wan Ahmad. - Teks: Mohd Zulkifli Zakaria​

  • Created on .
  • Hits: 980

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024