USM BANTU UIM JADI LEBIH KOMPREHENSIF
PULAU PINANG, 11 Jun 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) akan bekerjasama membantu Universiti Islam Madinah (UIM) menjadi lebih komprehensif dengan penawaran kursus-kursus selain daripada Pengajian Islam termasuk Kejuruteraan, Sains Komputer dan Sains.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman, sejak tiga tahun lalu UIM dibenarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi menawarkan bidang-bidang di luar daripada Pengajian Islam berbanding sejak UIM ditubuhkan pada tahun 1960 yang hanya boleh menawarkan bidang-bidang Syariah, Pengajian Islam dan Bahasa Arab sebagai bidang utama pengajaran di sana.
“MoU ini membolehkan berlakunya pertukaran pensyarah, pelajar dan juga ahli akademik untuk membantu UIA menawarkan program-program yang bersesuaian dengan penarafan dan tahap kualiti universiti tersebut yang dalam jangka masa panjang akan menjadi sebuah universiti bertaraf antarabangsa di luar Arab Saudi,” ujar Naib Canselor dalam sidang media selepas majlis penandatanganan MoU tersebut di sini.
Tambahnya lagi, ini adalah sejajar dengan hasrat USM untuk berkolaborasi dengan universiti antarabangsa yang bukan sahaja yang ternama dalam bidang Sains malah akan menerokainya sejauh mungkin.
Pemangku Rektor UIM, Profesor Dr Ibrahim Ali Alobaid berkata, penandantanganan MoU ini penting kerana melibatkan jalinan kerjasama di antara dua buah negara Islam melalui dua buah kementerian pendidikan di Malaysia dan Arab Saudi serta dua buah universiti antarabangsa.
Beliau yang pertama kali berada di USM khasnya dan Pulau Pinang amnya berkata, UIM ingin menawarkan tiga kursus gunaan seperti Sains, Komputer dan Kejuruteraan serta akan menambah lagi enam atau tujuh program seperti Sains Farmasi, Sains Pergigian dan sebagainya.
“Saya berharap kerjasama yang terjalin ini akan membangunkan kedua-dua buah universiti ini yang mempunyai kekuatan dalam bidang masing-masing iaitu Sains dan Pengajian Islam,” tambah Ibrahim.
Pelajar UIM terdiri 85 peratus pelajar luar negara berbanding hanya 15 peratus pelajar dari Arab Saudi dan UIM sehingga kini telah melahirkan lebih 70,000 orang siswazah dari lebih 200 buah negara.
Manakala di USM terdapat lebih 50 orang pelajar Arab Saudi yang menyambung pengajian di peringkat ijazah tinggi.
Turut hadir menyaksikan penandatanganan MoU adalah Timbalan Rektor (Akademik dan Antarabangsa) UIM Profesor Dr. Mahmoud Al Qadah, Dekan Pusat Pengajian (PP) Sains Matematik, Profesor Dr Ahmad Izani Md Ismail, Dekan PP Sains Fizik Profesor Dr Mohamad Suhaimi Jaafar, Dekan PP Sains Komputer Profesor Dr Ahamad Tajudin Khader, Pengarah Pusat Islam Profesor Dato’ Dr Muhammad Idiris Saleh serta Profesor Dr Mohd Jain Noordin Mohd Kassim.- Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
http://usmtv.usm.my/index.php/component/contushdvideoshare/player/2015/usm-bantu-uim-jadi-lebih-komprehensif
- Created on .
- Hits: 1225