NAIB CANSELOR LANCAR PROGRAM KONGSI REZEKI SEPANJANG TAHUN PUSAT ISLAM KAMPUS KEJURUTERAAN
NIBONG TEBAL, 19 Mac 2025 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, hari ini telah melancarkan Program Kongsi Rezeki Sepanjang Tahun di bawah Pusat Islam Kampus Kejuruteraan.
Pelancaran program ini bersempena dengan Majlis Berbuka Puasa bersama Naib Canselor USM 2025 peringkat Kampus Kejuruteraan yang diadakan di Pusat Islam.
Menurut Naib Canselor, program ini amat bermakna kerana ia dapat membantu golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2: Sifar Kelaparan.
“Sehingga hari ini, sebanyak 173 kit sumbangan berbentuk barangan keperluan memasak telah diedarkan kepada staf USM dan masyarakat setempat. Lebih menarik, sumbangan ini turut disalurkan kepada masyarakat di Daerah Pattani, Thailand,” ujarnya.
Naib Canselor juga menyatakan bahawa majlis seperti ini bukan sahaja mengukuhkan ukhuwah antara warga USM, tetapi juga menjadi platform untuk berkongsi rezeki dan pengalaman, serta saling mengenali dengan lebih erat.
Tambah beliau, sebagai sebuah universiti berstatus Apex University, USM sentiasa menekankan kepentingan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembangunan insaniah.
“Ramadan adalah masa terbaik untuk mengasah ketahanan diri serta meningkatkan nilai integriti dalam budaya kerja seharian. Semoga semangat ini dapat diteruskan dalam kehidupan harian kita, walaupun setelah bulan Ramadan berakhir,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, dalam ucapannya, turut menzahirkan penghargaan kepada Naib Canselor atas kesudian hadir ke majlis berbuka puasa ini.
“Kehadiran beliau amat bermakna bagi kami semua kerana ia mencerminkan keprihatinan kepimpinan tertinggi universiti dalam mendekati warga kampus serta menyantuni kebajikan pelajar dan staf,” katanya.
Pengarah Kampus Kejuruteraan itu juga mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang telah berusaha menjayakan majlis ini dengan penuh dedikasi.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah Pusat Islam, Ustaz Zayd Zhari, dan Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Ramadan Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 132