YBM ZAMBRY SANTUNI MAJLIS IFTAR KEMBARA RAMADAN KPT BERSAMA WARGA USM, LEBIH 1,000 HADIR MEMERIAHKAN ACARA
USM PULAU PINANG, 9 Mac 2025 – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyantuni lebih 1,000 warga Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Majlis Iftar sempena Kembara Ramadan KPT 2025 di Masjid Al-Malik Khalid, USM.
Sebelum berbuka puasa, beliau terlebih dahulu mengadakan sesi dialog bersama pihak industri semikonduktor untuk membincangkan hala tuju dan peluang kerjasama strategik dalam sektor pendidikan tinggi.
Dalam majlis iftar ini, Zambry turut serta dalam aktiviti rewang, mengedarkan juadah berbuka, serta berinteraksi dengan pelajar dan staf USM bagi mengeratkan ukhuwah sepanjang Ramadan.
Masjid Al-Malik Khalid USM sentiasa meriah setiap kali tibanya bulan Ramadan dengan program khas anjuran Pusat Islam USM, termasuk gotong-royong penyediaan juadah iftar percuma yang mencecah 2,000 hidangan sehari.
Program ini melibatkan sukarelawan berbilang kaum dari kalangan pelajar, staf, dan komuniti setempat bagi menyemarakkan bulan yang mulia ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya menegaskan bahawa USM sentiasa memperkasa keunikan program Ramadan dengan memperluaskan manfaat kepada warga kampus dan komuniti setempat, di samping mengekalkan semangat gotong-royong serta kepelbagaian budaya dalam kalangan pelajar dan staf.
"USM adalah sebuah universiti yang menggalas amanah untuk memacu kecemerlangan berteraskan kelestarian serta menjaga dan memuliakan hubungan akrab dengan Pencipta, sesama manusia, dan alam semula jadi," ujar beliau.
Majlis ini turut menyaksikan penyerahan zakat dan sumbangan oleh beberapa institusi kewangan, termasuk Lembaga Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, dan Affin Islamic Bank Berhad, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
Selain itu, sesi penyampaian Bantuan Kasih Ramadan oleh Yayasan Perkasa Siswa turut berlangsung bagi membantu golongan yang memerlukan di USM.
Program Kembara Ramadan KPT ini merupakan inisiatif turun padang yang diteruskan di institusi pendidikan tinggi lain bagi memperkukuh hubungan antara KPT, industri, dan komuniti akademik.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi KPT, Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Gabenor USM, rakan-rakan industri, ketua-ketua jabatan USM, pegawai utama universiti, serta para pelajar USM.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 174