USM JUARA PERTANDINGAN INOVASI KECERDASAN BUATAN (AI) ICT-HUAWEI ASIA KE-9, WAKILI ASIA PASIFIK KE PERINGKAT AKHIR DI CHINA
USM PULAU PINANG, 3 Mac 2025 – Pasukan dari Pusat Pengajian Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM) telah meraih Hadiah Pertama dalam Kategori Inovasi di Pertandingan ICT Huawei 2024-2025 Peringkat Asia-Pasifik, yang diadakan dari 25 hingga 27 Februari 2025 di Hotel Pullman Kuala Lumpur.
Dibimbing oleh Pensyarah Kanan, Profesor Madya Dr. Chong Yung Wey yang juga merupakan penasihat pasukan, pasukan yang terdiri daripada tiga pelajar tahun ketiga, iaitu Bok Wei Hong, Lim Miin Ning, dan Naomi Tham Kah Mun, telah beroleh kemenangan dengan persembahan pembangunan sistem berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) inovatif yang memanfaatkan model bahasa besar (Large Language Model - LLM) untuk meningkatkan pengambilan keputusan pintar dan automasi.
Lebih 110 pelajar terpilih dari 12 negara Asia Pasifik bertarung bakat dan kemahiran dalam bidang inovasi kecerdasan buatan.
Edisi tahun 2025 menyaksikan penyertaan lebih 8,000 pelajar dari seluruh pelusuk dunia.
Sebelum ini, pasukan USM yang sama telah memenangi hadiah utama di peringkat kebangsaan dan diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia di pentas Asia-Pasifik.
Dengan kejayaan terbaru ini, mereka kini melangkah ke peringkat akhir antarabangsa, yang dijadualkan akan berlangsung pada Mei 2025 di Shenzhen, China, yang mana mereka akan bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dunia.
"Pencapaian ini mencerminkan dedikasi dan pemikiran inovatif pelajar kami," kata Chong.
![]() |
![]() |
"Kejayaan mereka bukan sahaja membawa pengiktirafan kepada USM tetapi juga menonjolkan kepakaran Malaysia yang semakin berkembang dalam kecerdasan buatan dan ICT di pentas global,” tambahnya lagi.
Pertandingan ini dianjurkan secara bersama oleh Huawei dan ASEAN Foundation, merupakan salah satu acara ICT yang berprestij di dunia serta menarik penyertaan ribuan pelajar dari institusi pendidikan di seluruh dunia.
Ia menyediakan platform untuk bakat muda mempamerkan kemahiran mereka sambil memupuk inovasi dan kemajuan teknologi dalam aplikasi AI dalam industri ICT.
Maklumat lanjut pertandingan boleh didapati di laman sesawang Https://e.huawei.com/en/talent/ict-academy/
Teks Asal & Foto: Prof. Madya Dr. Chong Yung Wey, Pusat Pengajian Sains Komputer USM/Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 127