USM CEMERLANG DI MIFF FDC 2025: RAIH DUA ANUGERAH DALAM PAMERAN PERABOT TERKEMUKA ASIA TENGGARA
KUALA LUMPUR, 5 Mac 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan kecemerlangannya dalam dunia reka bentuk apabila merangkul dua anugerah berprestij di Malaysian International Furniture Fair (MIFF) Furniture Design Competition (FDC) 2025.
MIFF merupakan pameran perdagangan perabot terbesar di Asia Tenggara dan secara konsisten berada dalam kelompok 10 terbaik dunia. Tahun ini, MIFF berlangsung dari 1 hingga 4 Mac di MITEC dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), menghimpunkan 742 peserta pameran dari 12 negara dan wilayah serta menarik lebih 20,000 pengunjung dari 140 negara.
Sebagai salah satu inisiatif untuk memacu industri reka bentuk perabot, MIFF turut menganjurkan Furniture Design Competition (FDC) yang menjadi platform bagi pelajar institusi pendidikan tinggi untuk menonjolkan kreativiti mereka dalam mencipta rekaan inovatif dan lestari.
Wong Lilie, 24, pelajar tahun akhir Bahagian Reka Bentuk Produk, Pusat Pengajian Seni USM, mengharumkan nama universiti dengan merangkul gelaran juara dalam pertandingan tersebut.
Beliau berjaya menewaskan 335 peserta lain dengan ciptaan inovatifnya, sebuah kerusi bernama ‘Leviosa’ yang mengetengahkan gabungan bahan mesra alam serta elemen budaya tempatan.
Menurut Wong, "Saya mengilhamkan kerusi Leviosa daripada Bottega Veneta, jenama fesyen terkenal dengan kehalusan seni tenunan kulit ikoniknya, dan saya menggabungkan elemen budaya Malaysia dengan menerapkan unsur anyaman buluh yang menggunakan teknik anyaman yang sama rumit dan terperinci."
Reka bentuk Leviosa yang unik telah memikat hati panel juri profesional dari dalam dan luar negara, menjadikan Wong sebagai penerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil yang disampaikan oleh Dato' Razali Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi), Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Selain kemenangan pelajar, USM turut meraikan kejayaan Ts. Dr. Siti Suhaily Surip, pensyarah kanan dan penyelia projek reka bentuk tahun akhir, yang dianugerahkan Best Mentor Award.
Anugerah ini mengiktiraf sumbangan beliau dalam membimbing pelajar ke arah kecemerlangan dalam reka bentuk perabot. Sebagai penghargaan, beliau menerima wang tunai RM2,000 serta sijil penghargaan.
Dr. Suhaily menyatakan, "Setiap pelajar saya mempunyai bakat, idea, dan kekuatan tersendiri, dan peranan saya sebagai mentor adalah untuk menonjolkan keunikan tersebut agar lebih menyerlah.”
"Dengan mendorong mereka menyertai pertandingan, saya dapat membimbing mereka bagaimana berhadapan dengan tekanan dan cabaran luar, kerana saya percaya bahawa reka bentuk yang hebat bukan sekadar mengenai estetika, tetapi juga tentang penceritaan, inovasi, dan impak.” Ujar beliau.
USM bukanlah nama asing dalam kejohanan ini. Kali terakhir universiti ini memenangi gelaran juara FDC MIFF adalah pada tahun 2013.
Tahun ini, kemenangan tersebut lebih bermakna kerana ia menandakan kejayaan USM selepas hampir 12 tahun, membuktikan komitmen berterusan dalam melahirkan bakat reka bentuk bertaraf dunia.
Sebanyak 30 penyertaan telah dihantar oleh USM dalam pertandingan ini, dengan empat penyertaan berjaya melangkah ke peringkat akhir.
Selain Wong, tiga lagi pelajar USM yang turut terpilih ke peringkat akhir ialah Lee Sung Yun, Tan Kath Wen, dan Zulhilmi Naim Mohamad Sharif, yang kesemuanya dibimbing oleh Ts. Hafeezur Rahmaan Mohd Yassin.
Setiap tahun, Pusat Pengajian Seni USM konsisten dalam meneroka dunia reka bentuk dan inovasi dengan menyertai pelbagai pertandingan berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Usaha ini bukan sahaja memberikan pengalaman berharga kepada pelajar, tetapi juga menghubungkan mereka dengan industri reka bentuk sebenar.
Melalui penyertaan seperti MIFF FDC 2025, pelajar USM berpeluang mengasah kreativiti, mengembangkan pemikiran kritis, serta meningkatkan daya saing di peringkat global, sekali gus mengukuhkan USM sebagai hab kecemerlangan dalam bidang reka bentuk dan inovasi.
Teks: Ts. Dr. Siti Suhaily Surip, Pensyarah Pusat Pengajian Seni/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: www.mifffdc.com
- Created on .
- Hits: 258