USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERAMBEH SISWA 3.0 PERKASA JALINAN AKADEMIK DAN KHIDMAT MASYARAKAT DI PATANI

PATANI, THAILAND, 27 Februari 2025 – Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL) Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) baru-baru ini telah berjaya menganjurkan program Berambeh Siswa 3.0 di Kampung Panare, Saiburi, Thailand.

IMG 8692

Program yang berlangsung dari 23 hingga 27 Februari 2025 ini melibatkan penyertaan seramai 50 pelajar tahun satu hingga tahun empat, menjadikannya sebagai salah satu program andalan (flagship) antarabangsa yang menggabungkan elemen khidmat masyarakat dan pertukaran ilmu merentas sempadan.

Melalui kerjasama erat dengan Universiti Fatoni, Thailand, seramai 15 pelajar dari universiti tersebut turut terlibat dalam program Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) di Sekolah Bang Maruad, sekali gus menyokong matlamat SDG 4 (Pendidikan Bermutu) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).

Program ini turut membuka peluang kepada kedua-dua universiti untuk mempromosikan program akademik masing-masing kepada pelajar sekolah, demi kesinambungan pendidikan tinggi dalam kalangan belia setempat.

IMG 7812

Selain aspek akademik, peserta turut berpeluang meneroka ekonomi komuniti sekitar dengan mengunjungi kilang pembuatan keropok ikan, kilang budu, serta ladang tembikai yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Sebagai pelajar bidang kejuruteraan, mereka turut berkongsi pengetahuan teknikal masing-masing bagi meningkatkan nilai pengeluaran serta daya saing produk komuniti setempat tersebut.

IMG 7816

IMG 7695

Dalam aspek kebajikan, program ini mendapat sokongan Pusat Islam Kampus Kejuruteraan USM melalui kerjasama dengan Masjid Mubarak.

Para peserta mengedarkan buah kurma sebagai persiapan menyambut Ramadan, manakala Pusat Islam menyampaikan Kit Baitul Rahman kepada golongan asnaf, seiring dengan matlamat SDG 2 (Kelaparan Sifar) dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan.

IMG 0502 1

Inisiatif ini selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menekankan kepentingan pembangunan komuniti serta pendedahan kepada realiti kehidupan luar bandar di peringkat antarabangsa.

Teks & Foto: BHEPA Kampus Kejuruteraan USM/Suntingan: Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar

  • Created on .
  • Hits: 114

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024