9 MODUL PEMBANGUNAN INSANIAH SISWA SULUNG DILANCARKAN; TERAPKAN SDG 1, 4, 8, DAN 17
USM PULAU PINANG, 28 Februari 2025 – Baru-baru ini berlangsungnya Program Pembangunan Insaniah Siswa Sulung (Asas) Sidang Akademik 2024/2025 melibatkan seramai 230 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) kategori Siswa Sulung Tahun 1 bagi semua kampus utama universitI.
Program anjuran Unit Kebajikan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) itu diadakan di Pusat Latihan Kenegaraan, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKN), Balik Pulau, Pulau Pinang, dan telah dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang turut menyempurnakan pelancaran 9 modul Program Pembangunan Insaniah Siswa Sulung.
Antara modul-modul latihan yang dilancarkan adalah Sayangi USM, Kenali Diri, Pelajar Cemerlang, Pengurusan Kewangan, Minda Keusahawanan, Kepimpinan dan Kelestarian, Sedia Berubah, Refleksi Kendiri, dan Penilaian dan Pengukuran.
Pelaksanaan program tersebut bertujuan untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang holistik dan berkualiti, memiliki kecemerlangan ilmu, kemahiran kreatif serta inovatif, bersifat murni dengan memiliki minda kelas pertama dan mampu berdaya saing di peringkat global berbekalkan semangat Malaysia MADANI.
Selain daripada perkongsian maklumat modul oleh pakar-pakar dari kalangan ahli akademik dan pentadbir USM yang telah dilantik, perjalanan program turut dibantu oleh seramai 20 pembantu fasilitator pelajar dari pelbagai pusat dan tahun pengajian diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Muhammad Arif Esa.
Selain Naib Canselor, turut hadir menyantuni pelajar yang terlibat ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar; Dekan-dekan Pusat Pengajian dan pegawai-pegawai BHEPA.
Untuk program kali ini, peserta Siswa Sulung dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu bagi kumpulan 1, kem latihan bermula dari 23-25 Februari 2025 manakala kem kumpulan 2 bermula dari 25-27 Februari 2025.
Fasa pertama bengkel pembangunan modul Siswa Sulung telah diadakan di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 1 Ogos 2024 tahun lepas, diikuti oleh fasa kedua bengkel ‘face to face’ pada 16 November 2024 di Dewan Bankuet, Canselori II USM, dan bengkel akhir pembangunan modul melibatkan Training of Trainers yang diadakan di Lantai Seni, Kompleks Cahaya Siswa.
Naib Canselor merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kem pembangunan tersebut dan kepada semua peserta, diharapkan kem tersebut dapat menyuntik semangat mereka untuk tetap tabah dan kuat dalam mencipta kejayaan di masa hadapan.
Teks & foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe
Soalan lazim:
1. Apakah itu Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0?
Menyediakan peluang menyambung pengajian dan pembiayaan pendidikan kepada pelajar kategori B40 yang belum ada ahli keluarganya melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
2. Apakah tujuan Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0 ditubuhkan?
Memenuhi aspirasi negara dalam merubah kehidupan keluarga B40 untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
3. Siapakah yang layak diterima menyertai Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0?
- Menjadi anak/wakil pertama dalam keluarga yang menyambung pelajaran ke UA;
- Mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda sahaja;
- Mengikuti pengajian sepenuh masa;
- Memperoleh PNGK 3.0;
- Golongan isi pendapatan keluarga B40;
- Penerima biasiswa/dermasiswa/tajaan penuh/JPA/MARA tidak layak menyertai program.
4. Apakah manfaat yang akan diperoleh pelajar yang berada di bawah Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0?
- Pengecualian penuh kesemua yuran universiti sepanjang tempoh pengajian berkuatkuasa dari semester mula ditawarkan bagi mod sepenuh masa sahaja, seperti yang termaktub dalam peraturan akademik Sarjana Muda dan Diploma (yuran one-off dan yuran berulang) kecuali yuran penginapan;
- Program Pembangunan Insaniah: Program Unggul Siswa Sulung dan Program Berasaskan Konsep J.E.R.I.S (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, dan Sosial);
- Sokongan akademik dan kaunseling dari pembimbing Sulung.
- Created on .
- Hits: 189