SUKARELAWAN USM SERTAI PROGRAM PENANAMAN POKOK BAKAU BAGI MENGURANGKAN KESAN PERUBAHAN IKLIM SELARAS SDG 13
USM PULAU PINANG, 25 Februari 2025 – Seramai 20 orang sukarelawan dalam kalangan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Program Penanaman Pokok Bakau Bersama Komuniti Setempat di Hutan Simpanan Byram, Nibong Tebal Pulau Pinang pada 22 Februari 2025, baru-baru ini.
Sebanyak 1,000 pokok bakau yang melibatkan empat spesis bakau iaitu bakau minyak, bakau kurap, bakau berus, dan bakau tumu merah telah ditanam, dan inisiatif tersebut diharapkan dapat meningkatkan jumlah pokok bakau dan spesies yang sesuai di kawasan paya laut, sekali gus menambahkan daya tahan kawasan hutan paya laut di Pulau Pinang.
Antara objektif utama pelaksanaan program tersebut adalah untuk membantu penyerapan karbon bagi mengurangkan kesan perubahan iklim yang menjadi masalah global, di samping mewujudkan habitat baharu buat hidupan laut seperti ketam nipah, lokan, ikan, dan kawasan persinggahan pelbagai spesies burung laut semasa musim sejuk.
Program anjuran pihak Aeon dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), dan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang itu turut disertai Dr. Wan Mohd. Muhiyuddin Wan Ibrahim, Pensyarah Geografi dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.
Selaras dengan agenda universiti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), program ini meliputi SDG 13: Tindakan Iklim melalui sasaran 13.3 iaitu peningkatan pendidikan, kesedaran dan kapasiti manusia serta institusi mengenai pengurangan perubahan iklim, penyesuaian, pengurangan impak dan amaran awal.
Selain dapat menambah pengetahuan dan ilmu tentang pokok bakau, pelaksanaan program itu juga secara tidak langsung dapat menjadi titik permulaan kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Suntingan teks: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
- Created on .
- Hits: 132