AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN: REBUT PELUANG MERIAHKAN PELBAGAI AKTIVITI RAMADAN DI MASJID AL-MALIK KHALID USM
USM PULAU PINANG, 28 Februari 2025 – AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN! Bulan penuh kemuliaan berkunjung tiba semula. Bulan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan yang mengeratkan silaturrahim dan menyemai sifat kasih sayang serta kepedulian terhadap sesama insan.
Begitu juga dengan Universiti Sains Malaysia (USM) yang saban tahun tidak ketinggalan menyambut bulan suci ini dengan penuh kesyukuran dan semangat kebersamaan.
Melalui Jawatankuasa Induk Aktiviti Ramadan Peringkat Universiti Sains Malaysia 1446H/2025, pelbagai program bermakna telah dirancang untuk menyemarakkan suasana ibadah dalam kalangan staf, pelajar dan tidak dilupakan warga qaryah Masjid Al-Malik Khalid USM.
Ketika ditemubual, Pengarah Pusat Islam USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Ramadan Kampus Induk, Ustaz Zayd Zahri berkata, dengan semangat ukhuwah dan ibadah pada Ramadan tahun ini, beberapa aktiviti utama telah dirangka bagi mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan ini.
“Antara aktiviti utama sepanjang Ramadan ini sudah semestinya ibadah Solat Tarawih Berjemaah setiap malam sepanjang Ramadan yang secara puratanya dipenuhi oleh kira-kira 1,500 hingga 2,000 jemaah yang menunaikan solat tarawih bersama-sama,” kata beliau.
Tambah beliau, sesi tazkirah juga akan diadakan setiap hari Isnin sehingga hari Khamis selepas solat Zohor untuk memberikan pengisian rohani dan ilmu bermanfaat kepada jemaah yang hadir.
“Tazkirah ini akan diteruskan sehingga kemuncak sepuluh malam terakhir Ramadan dan paling dinantikan adalah Qiyamulllail, solat malam dan tadarus Al-Quran secara bersemuka dan dalam talian bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan daripada warga kampus dan komuniti setempat,” kata Zayd lagi.
Selain itu, Zayd turut menambah, jamuan sahur turut akan disediakan dengan anggaran kos berjumlah RM2,500 sehari bagi para jemaah yang hadir.
Pada masa yang sama, Timbalan Pengarah Pusat Islam USM merangkap Bendahari Aktiviti Ramadan Kampus Induk, Ustaz Iswandi Abdul Mokmin@Mohd Amin berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, iftar percuma dan bubur lambuk juga akan disediakan setiap hari bermula Ramadan ini.
“Setiap hari, jamuan iftar disediakan untuk 1,500 orang dengan kos dianggarkan RM5,000 sehari. Selain itu, bubur lambuk turut diedarkan selepas solat Asar pada hari Selasa, Rabu, dan Khamis setiap minggu sebagai simbol tradisi dan kebersamaan.
“Sukarelawan digalakkan menyertai aktiviti seperti penyediaan juadah iftar dan sahur serta pengagihan makanan kepada golongan memerlukan, termasuk pelajar antarabangsa USM,” jelas beliau.
Selain itu Iswandi berkata Pusat Islam USM turut menyediakan perkhidmatan khas untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun agar ibu bapa dapat menunaikan solat dengan lebih tenang dan khusyuk.
Tahun ini, Pusat Islam USM turut memperkenalkan sistem baharu pengurusan tabung aktiviti Ramadan di bawah Jabatan Bendahari USM, bagi memastikan kelancaran sumbangan dan akses lebih mudah untuk semua pihak.
Muslimin dan muslimat yang ingin menaja jamuan iftar boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun berikut:
Bank: CIMB Bank
Nama Akaun: Tabung Aktiviti Ramadan Kampus Induk
No Akaun: 9898 6101 3015 86
Dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang, diharapkan Ramadan kali ini membawa keberkatan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga USM dan masyarakat sekitar.
Jom sertai dan raikan Ramadan dengan penuh bermakna!
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 318