USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS PELUNCURAN PROGRAM ANAK KITA: SPM 2025 DAN PENYERAHAN TABLET PENDIDIKAN PERINGKAT WILAYAH SARAWAK

KUCHING, SARAWAK, 25 Februari 2025 – Program Anak Kita: SPM 2025 merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah, dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pelaksana utama. Majlis peluncuran serta penyerahan tablet pendidikan peringkat Sarawak berlangsung di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, menandakan permulaan rasmi pelaksanaan program ini di wilayah tersebut.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Puan Hajah Siti Zulaiha Haji Ibrahim; Perunding Program Anak Kita merangkap Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM, Dr. Fadzilah Binti Amzah; serta wakil dari Yayasan Hasanah, Unit Pantau MADANI, dan sekolah-sekolah yang menyertai program ini.

Dalam ucapan penghargaan, USM merakamkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta sekolah-sekolah terlibat atas kesudian menyambut program ini dan membantu dalam menjayakan pelaksanaannya.

Copy of JPN03590

Memperkukuh Pendidikan & Menangani Isu Keciciran

Program Anak Kita: SPM 2025 dirangka sebagai intervensi sokongan pembelajaran bagi pelajar yang memerlukan, dengan objektif utama menangani isu keciciran, meningkatkan pencapaian akademik, dan memperkukuh kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebagai sebahagian daripada inisiatif nasional Program Anak Kita, yang melibatkan 83,752 pelajar dari 3,458 sekolah di seluruh negara, USM diberi mandat untuk melaksanakan Program Anak Kita: SPM 2025 di 10 negeri, termasuk Wilayah Persekutuan, melibatkan 10,000 pelajar dari 410 sekolah.

Di Wilayah Sarawak sahaja, program ini memberi manfaat kepada 1,255 pelajar dari 128 sekolah, dengan tempoh pelaksanaan selama 18 bulan, bermula Mac 2025 hingga Ogos 2026.

Copy of JPN02823

Program ini juga telah memulakan pengagihan tablet pendidikan di Zon Tengah dan Zon Utara Sarawak pada awal minggu ini, sebelum berakhir di Zon Selatan bagi majlis peluncuran rasmi di Kuching.

Tablet Pendidikan & Akses Internet Percuma

Sebagai langkah memperkasakan pembelajaran digital dan memastikan pelajar mendapat sokongan berterusan, setiap pelajar yang menyertai program ini menerima tablet pendidikan yang dilengkapi dengan pelan data percuma selama 13 bulan.

Langkah ini bertujuan menyokong pembelajaran dalam talian serta memastikan akses kepada sumber pendidikan digital tanpa halangan.

Copy of WhatsApp Image 2025 02 21 at 16.08.00 89bff155

Pendekatan Holistik & Pembangunan Pelajar

USM sebagai pelaksana program komited dalam memperkasakan pelajar melalui pendekatan holistik dan intervensi berstruktur.

Program ini bukan sahaja menumpukan kepada peningkatan prestasi akademik, tetapi juga membangunkan kemahiran diri dan menyediakan pelajar menghadapi kehidupan selepas sekolah.

Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah menegaskan bahawa Program Anak Kita: SPM 2025 membuktikan keberkesanan sinergi dalam sektor pendidikan.

"Marilah kita sematkan dalam minda bahawa usaha ini bukan sekadar membentuk pemikiran anak-anak kita, tetapi juga masa depan negara," ujarnya.

Kerjasama Komuniti & Aspirasi Masa Depan

Program Anak Kita: SPM 2025 bukan sahaja memberi impak kepada pelajar, tetapi juga mengukuhkan peranan komuniti melalui kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa, dan masyarakat setempat.

Copy of DSC2991 2

Sebagai inisiatif pendidikan inklusif, program ini membuka peluang kepada pelajar daripada latar belakang mencabar untuk memperoleh pendidikan berkualiti.

Semua pihak berharap inisiatif ini akan membantu mencorak masa depan pelajar dengan lebih cerah, sekali gus melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu dan berakhlak mulia.

Teks: Hariz Azfar Saar/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: Peneraju Inovasi Sosial & Pemindahan Ilmu, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM) USM 

  • Created on .
  • Hits: 270

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024