USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS PELUNCURAN PROGRAM ANAK KITA: SPM 2025 DAN REVOLUSI INTERVENSI MURID BACAAN ASAS & MENGIRA (RIMBA)

KOTA BHARU, KELANTAN, 24 Februari 2025 – Program Anak Kita: SPM 2025 dan Revolusi Intervensi Murid Bacaan Asas & Mengira (RIMBA) bagi peringkat Negeri Kelantan telah dilancarkan secara rasmi oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Puan Hajah Nooraini Kamaruddin dalam satu majlis di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Program Anak Kita yang dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan salah satu inisiatif utama kerajaan dalam reformasi pendidikan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan saksama kepada semua pelajar, termasuk mereka yang memerlukan sokongan tambahan, dengan penyertaan seramai 5,420 pelajar dari 140 sekolah rendah serta 1,430 pelajar dari 58 sekolah menengah di Kelantan, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah Orang Asli (OA).

image 5

Dalam ucapan perasmiannya, Puan Hajah Nooraini menegaskan komitmen KPM dalam memperkukuh kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis, Mengira) dalam kalangan murid pemulihan melalui Program Anak Kita: RIMBA, yang bertujuan menangani cabaran literasi dan numerasi serta memperkasakan pembelajaran asas secara sistematik.

“Program Anak Kita: SPM 2025 pula merupakan satu inisiatif untuk mengatasi keciciran dalam pembelajaran dengan memberi fokus kepada pengukuhan pemahaman dan teknik menjawab soalan peperiksaan.”

“Program ini menekankan pembelajaran digital yang disesuaikan dengan keperluan pelajar, bersama bimbingan serta sokongan berterusan daripada coaches dan kaunselor untuk memastikan setiap pelajar berjaya mencapai matlamat mereka” ujar beliau.

Dalam memastikan akses kepada pembelajaran berkualiti, inisiatif ini turut merangkumi pemberian tablet kepada pelajar sebagai langkah strategik bagi memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran secara digital.

image 2

MOK CEK JPN JELAS

Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Tuan Haji Mat Lazim Mohammad, menyatakan bahawa Program Anak Kita: RIMBA yang dilaksanakan dengan kerjasama USM, pihak sekolah serta Guru Pemulihan yang dibantu oleh Guru Sokongan Pemulihan (GSP) mampu memberikan impak positif terhadap murid pemulihan, sekali gus meningkatkan tahap literasi dan numerasi mereka.

Program ini memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk mendapatkan pendidikan inklusif dan berkualiti, sekali gus membantu mencorak masa depan mereka dengan lebih cerah serta melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu dan berakhlak mulia.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd Suki Harun; Pengurus Advokasi Pendidikan, Yayasan Hasanah, Chow Shenn Kuan; Perunding Kanan Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu, Tuan Syed Yusof Syed Kechik; serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia, Unit Pantau Madani, Yayasan Hasanah, Universiti Sains Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah, selain pengetua sekolah, guru besar, guru penyelaras program serta murid yang terlibat.

Teks: Siti Nur Asyiqin Jamaludin/Suntingan: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Peneraju Inovasi Sosial & Pemindahan Ilmu, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM) USM 
  • Created on .
  • Hits: 187

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024