PASUKAN HOKI USM MERAIH TEMPAT KEDUA DALAM KEJOHANAN LIGA HOKI PULAU PINANG 2024/2025
USM PULAU PINANG, 23 Februari 2025 – Pasukan Hoki Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya meraih Naib Johan dalam kejohanan Liga Hoki Pulau Pinang 2024/2025 anjuran Persatuan Hoki Pulau Pinang di Stadium Hoki Bertam, Kepala Batas, hari ini.
Dalam perlawanan akhir, Pasukan Hoki USM menentang Pasukan OFA A Hockey berkesudahan dengan keputusan seri 2-2 di akhir perlawanan sehingga diheret ke pukulan penentuan penalti (penalty shoot-out), yang mana Pasukan Hoki USM kurang bernasib baik dan tewas 4-2.
Sepanjang berlangsungnya kejohanan tersebut, Pasukan Hoki USM telah mempamerkan prestasi dan corak permainan yang cukup mantap sehingga berjaya menewaskan pasukan-pasukan lain yang lebih handal.
Lebih membanggakan Pasukan Hoki USM diwakili sepenuhnya pelajar USM berbanding pasukan lain yang diwakili pemain-pemain import.
Muhammad Hafiz Sukkeri, pelajar Tahun 2, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM selaku ketua pasukan, mengucapkan jutaan terima kasih kepada Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), dan Pusat Sukan dan Rekreasi USM kerana sentiasa menyokong para pelajar dalam apa jua bidang yang diceburi.
Menurut Muhammad Arif Esa pula selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM dan salah seorang pemain pasukan Hoki USM, kejayaan ini adalah untuk USM.
“Sesungguhnya kudrat yang telah dikerah adalah untuk membanggakan nama USM di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Tambahnya lagi, selari dengan agenda HEBAT USM, pelajar bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi disulam dengan kebolehan yang ada pada diri, selari dengan SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan yang memupuk para pelajar untuk mengamalkan kehidupan sihat dengan bersukan.
Liga Hoki Pulau Pinang merupakan acara tahunan yang dijalankan setiap tahun oleh Persatuan Hoki Pulau Pinang.
Teks & Foto: Pasukan Hoki USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 252