USM, BIPM METERAI MOU BAGI MEMPERKASA PENYELIDIKAN DAN LATIHAN PENGURUSAN PEROSAK LESTARI
USM PULAU PINANG, 18 Februari 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Kajihayat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bumiputera Integrated Pest Management (BIPM) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM.
MoU tersebut menandakan permulaan kerjasama strategik antara akademia dan industri dalam memperkasa penyelidikan serta latihan dalam bidang pengurusan perosak di Malaysia.
Majlis penandatanganan MoU itu membuka jalan kepada pelbagai aktiviti kolaborasi, termasuk penyelidikan bersama, pemindahan teknologi, dan program latihan industri.
Kerjasama berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan kaedah saintifik dan teknologi terkini dalam pengurusan perosak bagi manfaat pelajar, penyelidik, dan syarikat-syarikat industri.
Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Madya Dr. Amir Hamzah Ahmad Ghazali, dalam ucapannya menegaskan bahawa kolaborasi antara akademia dan industri adalah langkah penting untuk memastikan penyelidikan universiti dapat diterjemahkan ke dalam penyelesaian dunia sebenar.
“Kerjasama ini bukan hanya sekadar perjanjian formal, tetapi satu komitmen jangka panjang bagi memperkasakan penyelidikan dan latihan dalam bidang pengurusan perosak.
Melalui MoU ini, kami berusaha untuk menghubungkan penyelidikan saintifik dengan keperluan industri agar dapat memberi manfaat kepada komuniti secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa MoU ini akan membuka peluang kepada pelajar USM untuk menjalani latihan industri yang lebih berstruktur serta membolehkan penyelidikan yang lebih berfokus dalam bidang pengurusan perosak.
“Dengan adanya MoU ini, kita dapat mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik, yang mana pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu di bilik kuliah, tetapi juga dapat merasai pengalaman sebenar dalam industri.
“Ini adalah langkah besar ke arah pembangunan modal insan yang lebih kompeten dalam bidang kawalan perosak,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Bumiputera Integrated Pest Management (BIPM), Wan Mohd Yusri Wan Rawi, turut menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan membawa perubahan positif kepada industri kawalan perosak di Malaysia.
“Hari ini adalah titik permulaan bagi usaha yang lebih besar dalam membangunkan industri pengurusan perosak di Malaysia.
“MoU ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara industri dan akademia tetapi juga mencerminkan komitmen kami dalam menggalakkan pendekatan yang lebih saintifik dan lestari dalam pengurusan perosak,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama ini akan memberi manfaat kepada syarikat-syarikat dalam industri kawalan perosak dengan memperkenalkan teknologi dan kaedah pengurusan terkini.
“Dengan wujudnya jalinan kerjasama seperti ini, syarikat-syarikat kawalan perosak dapat mengakses penemuan penyelidikan terkini yang dapat meningkatkan keberkesanan serta kecekapan operasi mereka.
“BIPM amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan USM dalam memastikan bahawa industri ini berkembang dengan lebih profesional dan berinovasi,” tambahnya.
Sebagai inisiatif awal di bawah MoU ini, bengkel Masterclass Anai-Anai 1.0 telah diadakan selepas majlis penandatanganan perjanjian.
Bengkel selama dua hari (18-19 Februari 2025) itu telah berjaya menghimpunkan lebih 50 peserta dari lebih 20 syarikat kawalan perosak di seluruh Malaysia, dengan sesi latihan teori dan praktikal, termasuk latihan hands-on di makmal dan lapangan.
Teks & Foto: Profesor Madya Dr. Hasber Salim, Pengurus Program Agrobiologi, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 378