46 PEGAWAI TADBIR SUK KELANTAN DAN ACeIO MALAYSIA TERIMA SIJIL PROFESIONAL PUSAT PENGAJIAN PENGURUSAN USM
USM PULAU PINANG, 24 Februari 2025 – Seramai 46 orang Pegawai Tadbir kerajaan negeri melibatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (AceIO) Malaysia berjaya menamatkan program Pensijilan Profesional Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia bagi tahun 2024.
Program hasil kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan USM, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia ini telah melahirkan tenaga profesional berkualiti dalam pengajian Professional Certificate in Organisational Psychology serta Certified Professional in Integrity Assurance and Management bagi sesi 2024.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Seri Ir. Abdul Rahman Mohamed yang hadir merasmikan majlis graduasi tersebut berkata, USM amat bersyukur kerana dapat berkongsi kejayaan ini bersama 46 orang graduan atas usaha mereka meningkatkan kemahiran diri dengan ilmu berkaitan pengurusan psikologi dan integriti dalam pengurusan.
“Saya yakin ilmu yang diperolehi melalui 8 modul yang dibangunkan khas untuk kedua-dua program ini, mampu melahirkan tenaga profesional berkualiti dan kompeten, dan mampu memberikan impak besar kepada dunia integriti dan pengurusan serta profesionalisme organisasi dan negara,” kata beliau.
Tambah Abdul Rahman, beliau berharap dengan ilmu yang diperoleh, para graduan kini mampu menyumbang kepada transformasi organisasi yang lebih berdaya saing dan produktif.
“Bagi graduan Certified Professional in Integrity Assurance and Management, pencapaian ini menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh prinsip integriti dalam sistem pengurusan dan pentadbiran negara.
“Manakala buat graduan Professional Certificate in Organisational Psychology and Management, program ini telah membekalkan anda dengan pengetahuan yang mendalam tentang psikologi organisasi dan pengurusan, dua bidang yang saling melengkapi dalam dunia korporat dan organisasi,” tambah beliau.
Pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin turut hadir bagi mewakili Naib Canselor untuk sesi penganugerahan sijil kepada para graduan selepas tamat perasmian.
Turut hadir ke majlis ialah Ketua Unit Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Hj. Mohd Hariff Ghazali; Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia merangkap Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Perak, Dato’ Tpj Ahmad Sabri Mohamed; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, Penasihat Undang-undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi dan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Prof. Dr. Noor Hazlina Ahmad.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 401