USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM GARISKAN HALA TUJU STRATEGIK MELALUI PERUTUSAN NAIB CANSELOR 2025

USM PULAU PINANG, 17 Februari 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan Perutusan Naib Canselor bagi tahun 2025 yang disampaikan oleh Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di Dewan Budaya, USM Kampus Induk. 

Perutusan bertemakan “Kecemerlangan Berteraskan Impak” ini menggariskan tiga perkara utama: Sorotan Pencapaian 2024; Hala Tuju dan Perancangan Strategik 2025; dan Way Forward, yang bakal menentukan arah masa depan universiti sebagai institusi peneraju pendidikan tinggi global.

WhatsApp Image 2025 02 21 at 15.44.24

Dalam amanatnya, Naib Canselor menegaskan bahawa tahun 2025 merupakan tahun penting bagi lonjakan kecemerlangan USM dengan berlandaskan empat asas utama, iaitu:

  1. APEX sebagai asas kecemerlangan berteraskan impak;
  2. Tujuh fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT);
  3. Polisi peningkatan prestasi universiti; dan
  4. Prinsip Itqan Fil Amal: Kecemerlangan melalui kesempurnaan kerja.

Sebagai universiti APEX, USM akan memperkukuhkan pendekatan pendidikan transformatif yang memberi impak besar kepada komuniti melalui inovasi penyelidikan, pemerkasaan akademik, dan mobiliti pelajar antarabangsa.

WhatsApp Image 2025 02 21 at 15.44.25 1

Tujuh Fokus Utama USM Selari dengan Kementerian Pendidikan Tinggi

Dalam merangka hala tuju 2025, USM akan memperkukuh strateginya sejajar dengan tujuh fokus utama KPT yang telah digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, iaitu:

  1. Penyediaan bakat terbaik negara,
  2. Kewibawaan akademia dan warga kampus,
  3. Pemindahan dan perkongsian ilmu,
  4. Pengantarabangsaan pendidikan tinggi,
  5. Governan dan kepemimpinan,
  6. Kemampanan kewangan IPT, dan
  7. Infrastruktur, digital dan kesejahteraan kampus.

USM telah melaksanakan sembilan polisi peningkatan prestasi universiti yang merangkumi pengambilan staf akademik antarabangsa, pelantikan scholar dan CEO tersohor, pengiktirafan profesional, serta kebolehpasaran graduan melalui penempatan industri yang lebih efektif.

WhatsApp Image 2025 02 21 at 15.44.25

Kelestarian, Digitalisasi dan Kepimpinan Masa Depan

USM turut memberi perhatian kepada pembangunan lestari, dengan pengukuhan Polisi Pelepasan Karbon bagi memastikan universiti terus menjadi peneraju Universiti Rendah Karbon di Malaysia dan Asia Tenggara.

Dari sudut digitalisasi, pembangunan Gudang Data Bersepadu USM akan dilaksanakan bagi mempercepatkan pengurusan data yang lebih cekap dan strategik.

Selain itu, dalam usaha membangunkan kepimpinan akademik masa depan, USM memperkenalkan ‘The OVAL’ (Oasis for Visionary Academic Leaders) sebagai pusat latihan untuk membentuk pemimpin akademik yang progresif.

Sebagai universiti bertaraf global, USM akan terus mengembangkan program akademik pesisir (offshore) dengan institusi luar negara serta melaksanakan Polisi Sangkutan Akademik dan Sabatikal bagi membolehkan staf memperkukuh kepakaran mereka di universiti dan industri terkemuka dunia.

WhatsApp Image 2025 02 21 at 15.44.26

Dalam usaha untuk memacu kecemerlangan berasaskan impak, Naib Canselor turut menekankan akan kepentingan untuk seluruh warga Universiti mengamalkan prinsip Itqan Fil Amal.

Prinsip tersebut mengingatkan kita semua untuk tidak sekadar berpuas hati dengan pencapaian yang ada, tetapi untuk sentiasa berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi dengan penuh komitmen dan ketulusan, serta memberikan yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan.

Perutusan ini menjadi titik tolak bagi seluruh warga USM untuk bersama-sama merealisasikan hala tuju strategik 2025 dengan berpaksikan kelestarian, inovasi, kecemerlangan akademik, dan pemerkasaan bakat dalam memastikan universiti terus cemerlang di persada dunia.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhammad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 330

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024